Sebanyak 61 peratus rakyat Malaysia didapati tidak memiliki simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM1,000, sekali gus mendedahkan sebahagian besar isi rumah kepada risiko kewangan sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan, petik Berita Harian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dapatan berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tahun 2024 itu turut menunjukkan bahawa 37 peratus rakyat tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kos sara hidup selama tiga bulan sekiranya kehilangan sumber pendapatan.

“Inilah antara cabaran berdasarkan fakta dan angka yang dikemukakan oleh Bank Negara Malaysia. Oleh itu, saya berpendapat bahawa literasi kewangan amat penting dan perlu terus dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee menekankan bahawa penerapan pendidikan kewangan sejak usia muda amat penting bagi melahirkan generasi yang bijak mengurus kewangan.

Menurut beliau, pendedahan awal mengenai nilai wang, kepentingan menabung serta asas pelaburan mampu memandu golongan muda untuk membuat keputusan kewangan yang lebih bijak apabila melangkah ke alam dewasa.

Sumber