Kehangatan kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 kini kembali dirasai oleh seluruh peminat sukan tanah air.
Dengan 104 perlawanan yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV Okey, Sukan+, dan aplikasi RTMKlik, pastinya tiada siapa yang mahu terlepas detik-detik penting serta jaringan gol ikonik daripada pasukan kegemaran mereka.
Bagaimanapun, peningkatan trafik yang tinggi kadangkala boleh menyebabkan gangguan teknikal.
Sekiranya anda sedang menonton perlawanan dan tiba-tiba menghadapi masalah seperti video tidak dapat dimainkan, aplikasi tersekat (hang), mengalami proses memuatkan data (buffering) yang berpanjangan, atau paparan menjadi tidak stabil.
Berikut merupakan 7 langkah penyelesaian masalah yang boleh anda ikuti secara berperingkat demi memastikan kelancaran tontonan anda:
Langkah Penyelesaian Masalah Aplikasi RTMKlik
1. Tutup Dan Buka Semula Aplikasi
– Langkah pertama yang paling mudah ialah melakukan penutupan aplikasi secara paksa (force close).
– Jangan sekadar menekan butang ‘Home’, sebaliknya pastikan aplikasi RTMKlik ditutup sepenuhnya daripada paparan latar belakang peranti anda, kemudian aktifkan semula aplikasi tersebut.
2. Periksa Status Sambungan Internet Anda
– Kelancaran penstriman video definisi tinggi amat bergantung kepada kualiti rangkaian internet anda.
– Pastikan sambungan Wi-Fi atau data mudah alih anda berada dalam keadaan stabil.
– Sekiranya perlu, cuba lakukan but semula (restart) pada router internet anda.
– Anda juga boleh cuba menukar jenis sambungan antara Wi-Fi dan data mudah alih untuk menguji rangkaian yang lebih optimum.
3. Bersihkan Cache Dan Data Aplikasi (Khusus Android/Smart TV)
– Bagi pengguna peranti Android atau Smart TV tertentu, fail sementara yang terkumpul boleh menjejaskan prestasi aplikasi.
– Akses menu peranti melalui Settings > Apps > RTMKlik.
– Pilih butang Clear Cache.
Jika masalah masih berlarutan, anda boleh memilih Clear Data. (Nota: Tindakan ini akan melog keluar akaun anda, jadi pastikan anda mengingati maklumat log masuk semula).
4. Lakukan But Semula Peranti (Restart)
– Sistem operasi peranti yang telah beroperasi terlalu lama mungkin memerlukan kesegaran baharu.
– Sila matikan dan hidupkan semula telefon pintar, Smart TV, atau tablet anda bagi mengosongkan ruang memori yang terbeban
5. Kemas Kini Aplikasi Ke Versi Terkini
– RTM sentiasa mengemaskini aplikasi mereka bagi memastikan kestabilan platform kekal optimum.
– Sila pastikan aplikasi RTMKLIK pada peranti anda adalah versi terkini yang dimuat turun daripada stor rasmi sama ada Google Play Store, App Store, mahupun AppGallery
6. Padam Dan Pasang Semula Aplikasi (Reinstall)
– Sekiranya aplikasi masih gagal berfungsi dengan baik, anda disarankan untuk melakukan pemasangan baharu:
– Buang atau uninstall aplikasi RTMKlik sedia ada.
– Lakukan but semula (restart) pada peranti anda.
– Muat turun dan pasang semula aplikasi RTMKlik menerusi stor aplikasi yang rasmi.
7. Gunakan Platform Alternatif Yang Disediakan
Jika peranti utama anda masih mengalami kesukaran, anda boleh beralih ke kaedah alternatif:
– Akses siaran terus menggunakan pelayar web (web browser) pada komputer desktop atau komputer riba.
– Cuba gunakan peranti sokongan yang lain seperti Android TV atau tablet.
– Manfaatkan fungsi pancaran skrin seperti casting atau AirPlay sekiranya peranti anda menyokong ciri tersebut.
Pelbagai Faktor Sumbang Prestasi Aplikasi RTMKlik
Menurut RTM Malaysia lagi, prestasi keseluruhan aplikasi ini turut dipengaruhi oleh spesifikasi peranti, versi sistem operasi, sistem dalaman (firmware) Smart TV, serta tahap kelajuan dan kestabilan internet yang anda gunakan.
Oleh yang demikian, pengalaman tontonan bagi setiap pengguna mungkin berbeza mengikut kapasiti peranti masing-masing.
Semoga panduan ini dapat membantu anda menikmati setiap detik kehangatan Piala Dunia FIFA 2026 dengan lebih lancar dan menyeronokkan. Selamat menonton!