Rangkaian kedai serbaneka popular, 7-Eleven Malaysia, kini meluaskan lagi perkhidmatannya dengan menawarkan kemudahan mencetak dokumen secara layan diri.

Inisiatif ini dilihat sebagai langkah bijak dalam memenuhi keperluan pengguna yang memerlukan akses segera kepada perkhidmatan pejabat tanpa terikat dengan waktu operasi kedai biasa.

Dengan empat langkah mudah, orang ramai boleh mencetak dokumen bila-bila masa.

1. Pengguna hanya perlu memuat naik dokumen ke portal https://print.7eleven.com.my/.

2. Buat pembayaran menggunakan kad kredit/kad debit, Google Pay, QR/e-Wallet atau bayar tunai di kaunter menggunakan Fiuu Cash.

3. Dapatkan kod QR untuk cetak dokumen.

4. Cetak di outlet 7-Eleven terpilih berhampiran.

Menurut laman sesawang Print 7-eleven, servis ini terbuka untuk warga Malaysia dan bukan warga Malaysia.

Servis ini tersedia di cawangan 7-Eleven terpilih di seluruh negara.

Dokumen boleh dimuat naik pada laman sesawang melalui telefon pintar atau komputer.

Fail boleh dimuat naik tanpa had, asalkan dalam lingkungan 50mb. Format yang disokong buat masa ini adalah Microsoft Word (doc, docx) dan PDF.

Dokumen yang dimuat naik akan dipadam sekiranya tiada pembayaran dibuat dalam tempoh 24 jam. Sementara dokumen yang berjaya dicetak, dokumen di dalam portal akan dipadam serta-merta.

Hanya cetakan hitam dan putih, saiz A4 tersedia buat masa ini.

Harga servis printing 7-eleven

Perkhidmatan cetakan ini dikenakan caj minimum sebanyak RM1 bagi kuantiti kurang daripada tiga helai.

Manakala bagi cetakan empat helai dan ke atas, kadar rata sebanyak RM0.30 sehelai akan dikenakan.

Ringkasan kadar bayaran untuk rujukan:

1 hingga 3 helaian berharga RM1.00, sementara 4 helaian dan ke atas, 30 sen dikenakan bagi setiap helaian.

Sekiranya mengalami masalah pada cetakan, boleh memohon cetakan semula daripada kakitangan kedai terlebih dahulu.

Jika masalah masih berlaku, permohonan bayaran balik (refund) boleh dibuat dalam tempoh 30 minit selepas dokumen dicetak atau dibatalkan.

Selepas permohonan dihantar, permintaan bayaran balik akan disemak dalam tempoh tiga hari bekerja dan bayaran balik akan dikreditkan semula ke kaedah pembayaran asal dalam tempoh 14 hari bekerja.