Dulunya kenali sebagai Bank Pertanian Malaysia Berhad, Agrobank sentiasa memberi perhatian buat para petani di Malaysia khususnya dalam membuat simpanan mahupun pinjaman bagi tujuan bisnes berasaskan pertanian.

Terbaharu, bersempena dengan Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank 2022 yang bakal berlangsung di Hotel One World, Damansara pada 13 Julai 2023, Agrobank sedia menobatkan 7 usahawan pertanian terbaik.

Baca Juga:

Anugerah ini adalah inisiatif Agrobank dalam mengiktiraf pelanggan yang cemerlang dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh bank dalam membantu perniagaan berasaskan pertanian di samping menggalakkan lebih banyak penyertaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, pihak mereka telah menerima lebih 200 permohonan di mana Agrobank akan menapis serta mengumumkan para pemenang pada majlis yang bakal berlangsung pada masa terdekat ini.

Agrobank menjangkakan permohonan penyertaan akan terus meningkat sehingga 15% pada tahun akan datang kerana pelbagai inisiatif dan pendekatan strategik telah dirangka.

Terdapat tujuh kategori yang dipertandingkan iaitu Anugerah Agropreneur Muda, Anugerah Agropreneur Mikro, Anugerah Agropreneur Wanita, Anugerah Pelanggan Setia Individu,
Anugerah Pelanggan Setia Syarikat, Anugerah Khas Agropreneur Orang Kelainan Upaya (OKU) dan sebuah lagi kategori baru iaitu Anugerah Khas Ikon Inkubator.

Anugerah baru ni diketengahkan untuk meraikan peserta yang baru membina langkah di dalam perniagaan berasaskan pertanian dengan bimbingan daripada Agrobank menerusi Program
Bisnes Inkubator.

Pemenang anugerah akan membawa pulang sebuah trofi, sijil dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM70,000 di mana anugerah ini bakal disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad bin Sabu.