Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menggerakkan seramai 856 pegawai dan anggota bagi mengawal aliran lalu lintas susulan penganjuran tiga acara berskala antarabangsa secara serentak di Lembah Klang, Putrajaya dan Sepang hujung minggu ini.

Tiga acara mega berkenaan melibatkan perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTDL), Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), serta larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KL Marathon), petik Berita Harian.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, pelan penugasan menyeluruh telah dirancang bagi memastikan tahap keselamatan serta kelancaran trafik berada pada tahap optimum, sekali gus mengelakkan laluan di pusat bandar daripada terjejas teruk.

“Ini sekali gus mengelakkan sistem jalan raya di pusat bandar ‘lumpuh’.

“Bagi memastikan penugasan dapat dilaksanakan dengan berkesan, bantuan keanggotaan daripada kontinjen luar turut digerakkan bagi memperkukuhkan kekuatan sedia ada.

“Bagi LTDL, JSPT mengatur penugasan 16 pegawai dan 146 anggota merangkumi Race Team dan kawalan keselamatan di venue.

“Bagi acara F1 pula, 15 pegawai dan 352 anggota digerakkan secara dua syif, termasuk 130 anggota bantuan dari kontinjen luar bagi melancarkan pergerakan di sekitar litar dan laluan utama ke SIC.

“Untuk KL Marathon, kami menyediakan kekuatan keseluruhan 327 pegawai dan anggota bagi penugasan pada 3 dan 4 Oktober ini,” katanya.

Mengulas mengenai penutupan dan lencongan jalan, beliau menjelaskan pendekatan penutupan secara berperingkat diambil bagi mengurangkan impak kesesakan kepada pengguna jalan raya.

Bagi acara KL Marathon pada Sabtu yang melibatkan kategori 5 kilometer (km) dan 10km, penutupan jalan bermula jam 6 pagi dan laluan dijangka dibuka sepenuhnya sekitar jam 10 pagi. Bagi kategori 21km dan 42km pada Ahad pula, penutupan jalan bermula seawal jam 2 pagi dan akan dibuka semula secara berperingkat sebaik sahaja peserta melepasi laluan berkenaan, sebelum dibuka sepenuhnya pada jam 11.30 pagi.

Bagi perlumbaan LTDL dari Muar ke Putrajaya, penutupan jalan dilaksanakan mengikut pergerakan pelumba (rolling closure), manakala beberapa laluan di lokasi penamat di Putrajaya akan ditutup sehingga acara selesai dengan penyediaan laluan alternatif.

Sehubungan itu, Hasbullah menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal dan memanfaatkan perkhidmatan pengangkutan awam. Pengunjung acara F1 turut digalakkan menggunakan bas perantara yang disediakan penganjur kerana hanya kenderaan dengan pas parkir sah dibenarkan memasuki kawasan SIC.

Beliau turut memberi jaminan bahawa laluan bagi kenderaan kecemasan seperti ambulans, khususnya yang menuju ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), kekal menjadi keutamaan pihak polis.

Pengguna jalan raya digesa untuk sentiasa mematuhi arahan pihak polis bertugas demi memastikan pergerakan trafik kekal selamat dan teratur sepanjang hujung minggu ini.

Sumber