Prestasi cemerlang yang dipamerkan barisan pemain beregu negara membuatkan ramai peminat badminton berpendapat Rexy Mainaky wajar diberikan gelaran ‘Datuk’.

Rexy bukanlah asing dalam dunia badminton tanah air. Lebih 10 tahun beliau mencurah bakti bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dengan fasa pertama bermula pada 2005 hingga 2012 sebelum kembali semula pada 1 Disember 2021 sehingga kini.

Baca Juga:

Sepanjang tempoh itu, anak kelahiran Ternate, Maluku Utara ini telah menggalas pelbagai peranan daripada Ketua Jurulatih, Pengarah Kejurulatihan Beregu, sehinggalah Pengarah Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Kini, beliau kembali mengemudi peranan sebagai Pengarah Kejurulatihan Beregu sejak 25 Mac lalu selepas tugasan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan diserahkan kepada Kenneth Jonassen.

Sumbangan Bermakna Rexy Mainaky

‘Saham’ Rexy terus melonjak dengan kejayaan terbaharu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul juara dunia 2025 dan kemaraan ke pentas final oleh Pearly Tan-M. Thinaah.

Langkah strategik yang diambil Rexy jelas membuahkan hasil apabila tenaga jurulatih berpengalaman seperti Nova Widianto, Herry Iman Pierngadi dan Rosman Razak berjaya melengkapkan struktur kejurulatihan beregu negara.

Hasilnya, Malaysia kini memiliki skuad beregu yang lebih mantap dan berdaya saing di peringkat dunia.

Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah ramai peminat berpendapat sumbangan besar Rexy dalam melahirkan pencapaian tersebut wajar diiktiraf secara rasmi.

Malah, ramai peminat yang berpendapat bahawa Rexy seharusnya diberikan darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datuk’ sebagai tanda penghormatan atas jasa mereka dalam mengharumkan nama negara.

Perkara tersebut jelas dapat disaksikan di ruangan komen Instagram peribadi milik Rexy, selepas beliau berkongsi ucapan syukur dan terima kasih atas kejayaan anak-anak didiknya di Perancis itu.

Rata-rata peminat menyifatkan Rexy Mainaky bukan sekadar jurulatih, tetapi juga mentor dan figura yang berjaya menyuntik semangat juang dalam diri pemain beregu negara.