Kejohanan Badminton China Masters 2025 yang berlangsung di Shenzen Arena bermula hari ini menyaksikan beberapa kejutan dihadapi pemain pilihan.

Hari pertama yang baik buat kem negara apabila tiada wakil Malaysia menjadi mangsa kejutan tersebut.

Baca Juga:

Ia berikutan kejayaan pilihan ketiga, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menjinakkan pasangan baharu digandingkan dari Indonesia iaitu Muhammad Rian Ardianto-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan.

Beberapa pemain pilihan utama seperti An Se Young, Kunlavut Vitidsarn, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin turut terlepas daripada kejutan apabila berjaya melepasi pusingan pertama.

Senarai Pemain Pilihan Yang Tersingkir Di Hari Pertama China Masters 2025
Delphine Delrue. Kredit Foto: Thibaud MORITZ / AFP

Pemain Pilihan Terima Kejutan

Kejutan pertama dirasai oleh pasangan beregu campuran yang merupakan pilihan keenam kejohanan, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Pasangan dari Perancis itu ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjai Praparat 21-12, 16-21, 17-21.

Nasib sama dialami gandingan beregu lelaki pilihan ketujuh, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia yang tewas kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 16-21, 20-22.

Bekas juara dunia yang diletakkan sebagai pilihan kelapan perseorangan lelaki, Loh Kean Yew pula kecewa selepas ditumbangkan pemain Ireland, Nguyen Nhat 20-22, 14-21.

Li Ning China Masters 2025 merupakan kejohanan dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang berstatus Super 750.

Kejohanan ini bukan sahaja menawarkan mata ranking tinggi tetapi hadiah wang tunai ditawarkan juga cukup lumayan buat kesemua pemain bertanding.