Pasangan Pearly Tan-M. Thinaah beraksi cemerlang untuk mudah menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Arctic 2025 selepas menewaskan Rin Iwanaga-Kei Nakanishi pada aksi final yang berlangsung di Energia Areena, Vantaa Finland sebentar tadi.

Memiliki rekod pertemuan lebih baik dengan kemenangan 5-2 ke atas lawan dari Jepun itu, Pearly dan Thinaah jelas beraksi tanpa sebarang tekanan.

Anak buah Rosman Razak itu tampil dengan cukup meyakinkan sepanjang perlawanan yang nyata membuatkan Iwanaga-Nakanishi berada dalam kesukaran.

Ia jelas dibuktikan apabila pasangan ranking kedua dunia itu begitu unggul meninggalkan lawan tersebut untuk memenangi set pertama dengan mudah 21-7.

Skrip sama berulang pada set kedua apabila tekanan diberikan membuatkan Iwanaga dan Nakanishi melakukan beberapa kesilapan mudah.

Kesempatan itu diambil sepenuhnya Pearly Tan-M. Thinaah untuk memastikan kejuaraan menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-9.

Kejayaan itu turut memperbaiki kedudukan dimana musim lalu mereka muncul naib juara kejohanan sama selepas tewas kepada pasangan ranking pertama dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Kejayaan muncul juara itu menyaksikan Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $37,525 (RM158,491.13).

Malaysia berpeluang untuk menambah satu lagi kejuaraan dalam kejohanan ini apabila beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan berhadapan dengan Ben Lane-Sean Vendy dari England malam ini.