Bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Alex Pastoor tidak melihat pemecatan barisan kejurulatihan negara tersebut adalah perkara yang mengejutkan.

Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengucapkan selamat tinggal buat Patrick Kluivert dan barisan pembantunya sebaik sahaja Indonesia secara rasminya tersingkir daripada persaingan ke Piala Dunia 2026.

Baca Juga:

Ia susulan kekalahan yang dialami skuad Garuda itu ke atas Arab Saudi dan Iraq pada aksi pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026 bagi zon Asia.

Kluivert Dan Pembantu Berpisah Dengan Indonesia

Keadaan tersebut menyaksikan jodoh mereka bersama skuad Indonesia tidak pun sampai setahun dimana Kluivert dan para pembantunya diperkenalkan secara rasmi pada 12 Januari lalu.

“Saya sudah terlalu lama terlibat dalam dunia bola sepak untuk terkejut dengan perkara seperti ini,” ujar Pastoor menurut sumber laporan CNN Indonesia.

“Saya fikir mereka (PSSI) sedang mengusahakan sebuah projek jangka panjang bukan sekadar percubaan untuk layak ke Piala Dunia.”

“Namun, jika sentimen mula berubah menjadi sangat negatif, anda juga boleh bayangkan bagaimana suasana yang akan tercetus.”

“Sebenarnya, sama ada di atas padang mahupun dalam barisan kejurulatihan, kami berusaha menjelaskan kepada para pemain tentang apa yang diharapkan daripada mereka.”

“Saya rasa kami sudah memberikan yang terbaik, tetapi itu masih belum cukup untuk menewaskan pasukan-pasukan besar seperti ini.”

“Mereka berbincang beberapa hari selepas pulang dari Jeddah dan memutuskan bahawa inilah pengakhirannya,” tambah beliau lagi.

 

Sumber