Kegagalan membawa skuad kebangsaan Indonesia ke Piala Dunia 2026 menyaksikan Patrick Kluivert secara rasminya telah dipecat daripada tugasannya selaku ketua jurulatih.

Perkembangan terkini itu disahkan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dalam satu kenyataan dikeluarkan badan induk bola sepak negara jiran tersebut sebentar tadi.

Kluivert, PSSI Berpisah

“Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan barisan kejurulatihan Pasukan Kebangsaan Indonesia secara rasmi telah mencapai kata sepakat untuk menamatkan kerjasama lebih awal melalui mekanisme ‘mutual termination’ (penamatan bersama).”

“Perjanjian ini ditandatangani antara PSSI dan semua pihak dalam barisan kejurulatihan yang sebelum ini terikat dengan kontrak kerjasama selama dua tahun.”

“Penamatan kerjasama ini dibuat atas persetujuan kedua-dua pihak, dengan mengambil kira dinamika dalaman serta hala tuju strategik pembangunan pasukan kebangsaan pada masa hadapan.”

“Dengan berakhirnya kerjasama ini, barisan kejurulatihan tersebut tidak lagi akan mengendalikan pasukan kebangsaan Indonesia di peringkat senior, B-23, mahupun B-20.”

“PSSI turut menyampaikan penghargaan atas segala sumbangan dan jasa semua anggota barisan kejurulatihan sepanjang tempoh mereka berkhidmat.”

“Langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada proses penilaian semula secara menyeluruh terhadap program pembangunan dan kemajuan bola sepak negara.”

Kluivert menyertai skuad kebangsaan Indonesia secara rasminya pada 12 Januari lalu selepas menggantikan pengendali kelahiran Korea Selatan, Shin Tae-yong.

Dengan deretan pemain kacukan yang sudah dibawa masuk bagi menguatkan pasukan, kehadiran Kluivert masih belum mampu untuk membawa Indonesia ke Piala Dunia.

Sumber