Seorang lelaki gelandangan dirakam dikasari di luar sebuah bank di Taman Maluri telah tampil berkongsi kisahnya.

Memetik New Straits Times, dia menyatakan bahawa kini tidak mempunyai pekerjaan dan tidak boleh pulang ke India selepas majikannya di Malaysia menahan pasportnya.

Baca Juga:

Safiudeen Pakkeer Mohamed tiba di Malaysia tahun lalu dari Tamil Nadu untuk bekerja, lapor FMT.

Lelaki berusia 39 tahun itu pada asalnya berharap dapat menghantar wang kepada isteri dan dua anaknya.

Namun selepas memulakan kerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Sri Gombak, Kuala Lumpur pada Mac tahun lalu, keadaan mula berubah menjadi buruk.

Dia berkata majikannya menahan pasport dan gajinya, kadangkala berbulan-bulan lamanya.

Walaupun dia mahu berhenti, dia tidak dibenarkan pulang. Ekoran itu, dia membuat keputusan untuk berhenti bekerja sejak enam bulan lalu.

Safiudeen berkata dia telah membayar RM3,500 untuk permit kerja dan RM1,200 untuk perkhidmatan kesihatan kepada majikannya, tetapi tidak lama selepas mula bekerja, gajinya ditahan, menyebabkan dia tidak mampu menyara keluarganya.

Dia tidak pernah menyangka akan menjadi tular, dihina kerana terpaksa tidur di luar sebuah bank di Kuala Lumpur.

“Kalau mereka suruh saya pergi, saya akan pergi dengan senyap. Ketika itu saya sangat lemah, lapar, tertekan, dan murung,” kata Safiudeen seperti dipetik FMT.

Selama berbulan-bulan, dia hanya bertahan dengan makanan yang diberikan pekerja sebuah restoran berhampiran cawangan AmBank di Taman Maluri, tempat dia akhirnya dilayan dengan kasar.

Dia telah tidur di luar bank itu selama beberapa hari sebelum insiden yang dirakam itu menjadi tular.

Safiudeen kini berlindung dengan Tony Lian, atau lebih dikenali sebagai Uncle Tony, yang menguruskan pusat perlindungan untuk gelandangan.

Lian berkata dia merancang untuk mendapatkan semula pasport Safiudeen daripada majikannya dan membantu mengumpul dana untuk menyelesaikan hutangnya.

Gaji Safiudeen turut dipotong selepas majikannya menolak sehingga RM1,800, kononnya untuk pembaharuan permit kerja, walaupun tiada bukti pembaharuan diberikan.

Dia juga diberitahu bahawa dia perlu menanggung kos tambang penerbangan pulang ke India sebanyak RM3,000.