Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkemungkinan akan mencuba perubahan besar pada peraturan sepakan penjuru di Piala Dunia 2026.

Kejohanan berprestij pada musim panas hadapan akan kelihatan sangat berbeza berbanding Piala Dunia sebelum ini kerana ia akan menjadi edisi pertama melibatkan 48 negara, meningkat daripada kebiasaannya 32.

Baca Juga:

Perubahan bilangan pasukan itu mungkin bukan menjadi satu-satunya perubahan besar bakal dapat dapat disaksikan.

Hal ini kerana FIFA mungkin diberi kelonggaran khas untuk membolehkan Video Assistant Referee (VAR) mempunyai kuasa tambahan di Piala Dunia tahun depan termasuk dalam keputusan sepakan penjuru.

Cadangan Kuasa Tambahan VAR Di Piala Dunia 2026

Menurut sumber laporan Sport Bible, individu kanan FIFA telah memberikan cadangan agar VAR dapat campur tangan jika pengadil tersilap dalam memberikan sepakan penjuru.

Langkah itu akan memberi kebenaran kepada penganjur untuk menggunakan kuasa tambahan secara sementara atau sebagai percubaan, yang bermakna ia mungkin digunakan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Tokoh kanan dan penganjur percaya keputusan dibuat perlu setepat yang mungkin terutamanya bagi keputusan yang berpotensi mengubah perlawanan dan ia akan menjadi isu serius jika sepakan penjuru yang diberikan secara silap mengubah keputusan akhir perlawanan.

VAR juga mungkin dibenarkan untuk menyemak kad kuning kedua bagi mengesahkan sama ada keputusan pemain diperintahkan keluar padang adalah tepat.

Sebarang perubahan peraturan dijangka berkuat kuasa mulai 1 Jun, tepat pada masanya untuk Piala Dunia musim panas depan.

Ahli Lembaga International Football Association Board (IFAB) mahu memastikan bahawa sebarang pertambahan kuasa VAR tersebut tidak akan menyebabkan kelewatan perlawanan bertambah dan sebarang keputusan baharu mesti dibuat oleh pegawai video dalam beberapa saat sahaja.

IFAB terdiri daripada empat persatuan bola sepak Britain, masing-masing mempunyai satu undi, manakala FIFA mempunyai empat undi.

Sebarang perubahan peraturan permainan memerlukan sekurang-kurangnya enam daripada lapan undi untuk diluluskan.

Sumber