Sabah FC membuat keputusan besar menjelang Sukan SEA 2025 apabila penyerang sensasi mereka, Fergus Tierney, tidak akan dilepaskan untuk menyertai skuad bawah 23 tahun (B-23) negara di Bangkok – lapor Berita Harian.
Perkara itu disahkan Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid, yang menjelaskan keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan dengan ketua jurulatih Sabah, Jean-Paul de Marigny.
Keutamaan Sabah FC adalah Piala FA, di mana mereka mara ke perlawanan akhir. Walaubagaimanapun Sabah sedia untuk berkompromi melepaskan Tierney hanya untuk satu perlawanan pembukaan Kumpulan B menentang Laos, sebelum kembali semula ke Sabah untuk persiapan final Piala FA menentang JDT pada 14 Disember.
Namun, De Marigny tetap bertegas tidak mahu mengambil sebarang risiko. Mohd Joh menambah: “Jurulatih mahu Tierney kekal bersama pasukan dan fokus kepada final. Kami hormati keputusan itu. Sabah perlukan khidmat Tierney.”
Tierney yang berusia 22 tahun kini antara pemain paling penting dalam jentera serangan Sabah, sekaligus menjadikan kehadirannya kritikal untuk perlawanan-perlawanan besar tersebut.
Sementara itu, pengendali skuad B-23 negara, Nafuzi Zain, mengakui persiapan ke Sukan SEA kali ini agak mencabar.
Beliau mendedahkan skuadnya berlatih dengan kekurangan pemain kerana ramai yang perlu berulang-alik antara latihan negara dan tugasan kelab.
Dua pemain senior yang sudah menyertai latihan ketika ini ialah Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC) dan Haqimi Azim Rosli (KL City)
Nafuzi berharap dapat membawa pasukan terbaik, terutamanya untuk misi wajib menang perlawanan pertama menentang Laos.
Beliau berkata: “Kami berlatih dalam situasi tak cukup pemain… ada yang datang latihan, lepas itu balik untuk perlawanan negeri atau kelab.”