Sabah FC membuat kejutan apabila mengumumkan kepulangan Rozaimi Abdul Rahman bagi memperkuatkan serangan pasukan itu dalam saingan musim 2024/25.

Bagaimanapun, pemain yang pernah digelar sebagai ‘Neymar Malaysia’ itu hanya akan bermain dan berlatih bersama-sama pasukan Liga MFL U23 Sabah FC.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurut kenyataan rasmi, Sabah FC memanggil semula Rozaimi kerana beliau berpengalaman luas dalam bola sepak dan merupakan ikon yang dapat memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda.

Skuad Sabah FC U23 merupakan pasukan transisi bagi memilih komposisi pemain-pemain lokal seperti yang diingini majoriti penyokong-penyokong tempatan.

Rozaimi sebelum ini pernah jadi bualan peminat bola sepak tanah air apabila mempamerkan gaya permainan seakan-seakan seperti Neymar ketika bersama skuad kebangsaan.

Selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2015, prestasi Rozaimi tidak seperti dahulu dan perlahan-lahan hilang dari radar walaupun menyertai pasukan JDT pada musim 2016-2020 serta Kedah pada musim 2021.

Namun, beliau bangkit mempamerkan aksi memukau ketika bersama pasukan Liga M4, Machan FC dari Sarawak dan juga menyertai kelab Liga M5, Tenang FC dari Sabah.

Hasrat pemain yang berusia 31 tahun itu untuk kembali beraksi di pentas Liga Super belum pudar walaupun belum dipanggil menyertai skuad utama Sabah kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.

Berdasarkan rekod, Rozaimi pernah beraksi dibawah bimbingan Kim Swee ketika menyarung jersi pasukan kebangsaan B-23. Beliau berjaya menjaringkan 19 gol dalam 22 penampilan .

Beliau juga pernah memenangi anugerah kasut emas di Kejohanan Pestabola Merdeka pada tahun 2013 selepas menumpaskan Myanmar dengan jaringan 2-0 dan satu daripada jaringan itu ialah sentuhan Rozaimi.