Sejak mengumumkan pembukaan restoran, pempengaruh masakan, Khairul Aming menerima pelbagai maklum balas daripada warganet.
Majoriti menyokong dengan keputusan beliau untuk memulakan perniagaan berskala besar selepas lebih 10 tahun berada di pasaran online.
Baca Juga:
- Netizen Terharu Dan Bangga Lihat Khairul Aming Umum Restoran Pertamanya Bernilai RM4 Juta Di Kampung Baru

- Khairul Aming Buat Kejutan Luar Biasa, Sewa 3 Helikopter Bawa Pemenang Naik Puncak Gunung Main Salji

Terdapat ramai warganet juga yang melemparkan komen-komen negatif buat beliau yang baru mahu mencuba di medan perniagaan restoran.
Sehubungan itu, Khairul Aming tampil memberikan respon dan penjelasan untuk pemahaman ramai.
“Saya faham ada banyak persoalan yang keluar. Kenapa lokasi di situ, kenapa sistem tempahan, kenapa labur sebanyak ini, macam mana nak cuci cermin kaca, kenapa pakai pokok plastik, akan pakai ayam organik ke nanti, kenapa siling tinggi, kenapa ambil risiko besar dan pelbagai lagi.
“Saya hargai semua maklum balas cuma saya mohon bagi ruang untuk saya cuba berniaga dahulu. Ini percubaan saya untuk kembangkan F&B tempatan secara offline. Saya faham pelaburan besar & risiko tinggi, tetapi izinkan saya untuk mencuba terlebih dahulu,” jelas beliau.
Khairul Aming meminta orang ramai mendoakan perniagaan beliau berjalan dengan sempurna walaupun ramai pihak menyimpulkan perniagaan kali ini adalah sia-sia.
“Ada yang buat kiraan saya akan gagal. Ada yang cakap saya tak fikir panjang. Ada yang cakap saya menyusahkan orang. Ada yang cakap ini semua sia-sia.
“Saya tidak minta pujian cuma saya mohon doa perniagaan ni dipermudahkan. Apa kejayaan yang dapat, apa kesilapan yang saya buat, semua saya kongsi kepada orang ramai untuk bagi peniaga-peniaga kecil lain belajar dan ambil sebagai inspirasi.
“Gunakan risiko besar yang saya ambil ni sebagai tempat kita semua belajar dan kembangkan lagi bines tempatan kita,” tambah beliau.
Khairul Aming harap netizen tidak beri komen yang sama kepada peniaga baru bermula
Menurutnya lagi, ‘asam garam’ sebagai pempengaruh online selama ini membuatkan berasa biasa sahaja apabila membaca komen-komen netizen.
Pada masa sama beliau meminta orang ramai agar tidak melontarkan komen-komen sebegitu kepada peniaga kecil yang baru hendak bermula.
“Saya bersyukur sebab dah terbiasa baca maklum balas orang ramai selama 10 tahun ini dan ‘I’m okay with it;. Tapi untuk orang lain yang baru nak mula berniaga, akan ada yang berasa takut nak mula bila baca semua maklum balas macam ini.
“Saya mohon kalau nampak peniaga kecil lain baru nak mula, bagilah sokongan kepada mereka. Izinkan mereka bermula dan menyinar di dalam negara kita.
“Saya mohon jasa semua doakan perjalanan Rembayung ni dipermudahkan nanti. Terima kasih semua kerana memahami,” kongsi Khairul Aming.