Isu pemain warisan Harimau Malaya akhirnya memasuki fasa paling serius apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan laporan polis akan dibuat susulan dakwaan pemalsuan dan penipuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan baharu.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas keempat Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025–2029 yang berlangsung hari ini di Wisma FAM, Kelana Jaya, dipengerusikan oleh Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Hj. Mahadi.
Langkah drastik ini diambil selepas laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang diketuai Tun Md Raus Sharif mengenal pasti dua isu besar. Pertamanya proses pemberian kewarganegaraan Malaysia. Dan keduanya adalah dakwaan pemalsuan atau penipuan dokumen pemain warisan.
Laporan Polis Dibuat, Sistem Pendaftaran Akan Dirombak
IIC mengesyorkan FAM mengambil tiga tindakan utama, termasuk membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan.
FAM menerima sepenuhnya syor tersebut dan mengakui wujud kelemahan dalam tadbir urus pendaftaran pemain warisan yang kini akan melalui proses penambahbaikan menyeluruh.
FAM turut memberi jaminan isu kecuaian serta pemalsuan dokumen tidak akan berulang, memandangkan reputasi bola sepak Malaysia kini berada dalam pemerhatian rapi.
Noor Azman Masih Digantung, FIFA Masuk Campur
Dalam perkembangan paling mengejutkan, penggantungan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj. Rahman, kekal berkuat kuasa dan kes beliau akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Lebih panas, FIFA juga akan menjalankan siasatan mereka sendiri terhadap Noor Azman — satu petunjuk jelas isu ini bukan sekadar masalah dalaman FAM, tetapi berpotensi memberi kesan besar kepada kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa.