Pemain badminton perseorangan wanita ranking pertama dunia, An Se Young telah mengecapi pencapaian luar biasa dalam kariernya pada tahun 2025.

Jaguh dunia dari Korea Selatan itu beraksi dengan cukup cemerlang sepanjang musim untuk meraih 11 kejuaraan dalam kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF).

Baca Juga:

An Se-young
Kredit Foto: DAVID GRAY / AFP

Lakar Sejarah Baharu Badminton Dunia

Lebih hebat, pemain kelahiran Gwangju itu juga menjadi pemain badminton pertama yang meraih hadiah wang tunai berjumlah satu juta dollar AS dalam satu musim.

Jumlah itu berjaya dilepasinya selepas An Se Young mengungguli saingan BWF World Tour Finals 2025 hasil kejayaan menundukkan pesaing terdekatnya, Wang Zhi Yi dari China.

Selain pencapaian hebat di Hangzhou tersebut, pemain berusia 23 tahun itu turut muncul juara di Terbuka Malaysia (Super 1000), All England (Super 1000), Terbuka Indonesia (Super 1000), Terbuka India (Super 750), Terbuka Jepun (Super 750), China Masters (Super 750), Terbuka Denmark (Super 750), Terbuka Perancis (Super 750), Terbuka Australia (Super 500) dan Orleans Masters (Super 300).

All England 2025
Kredit Foto: Reuters/Andrew Boyers

Kejayaan manis itu turut memecahkan rekod beliau sendiri yang sebelum ini memenangi sembilan kejuaraan dalam satu musim pada 2023.

Dengan kejayaan 11 kejohanan tersebut serta setiap penyertaan dalam mana-mana pertandingan di bawah kelolaan BWF juga turut mendapat wang tunai, Se Young dikatakan membawa pulang jumlah keseluruhan bernilai $1,003,175 (RM4,070,876.69).

Jumlah besar yang dimenangi An Se Young itu menjadi lambang kegigihan serta disiplin tinggi olehnya dalam semua aspek terbayar dengan cukup lumayan.

Semua kejayaan itu tidak hadir dengan mudah sekiranya seseorang pemain atau atlet tidak berkorban dalam usaha mencapai kejayaan hebat seperti An Se Young.