Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mendedahkan kunci kebangkitan The Cityzens yang sebelum ini kecewa pada musim lalu.

Malah mereka juga menghadapi lima aksi awal English Premier League (EPL) 2025/26 dengan dua kemenangan, satu seri dan dua kekalahan sebelum pasukannya kembali menemui rentak sebenar permainan.

Baca Juga:

Kini selepas mengharungi 10 perlawanan, Manchester City hanya dua mata dibelakang pendahulu liga, Arsenal yang mengumpul 42 mata.

City cemerlang dengan meraih enam kemenangan berturut-turut untuk terus memberikan tekanan buat Arsenal dan ia memberi isyarat jelas bahawa pasukan itu cukup bersedia untuk bersaing dalam perebutan gelaran liga.

Perubahan ketara dalam corak permainan serta peningkatan konsistensi keputusan jelas mencerminkan kebangkitan juara bertahan itu selepas permulaan musim yang sedikit goyah.

Situasi tersebut turut mendorong Guardiola untuk tampil berkongsi pandangannya mengenai faktor utama yang menjadi pemangkin kepada kebangkitan City.

“Tenaga, tenaga, tenaga. Tenaga yang kami hilang musim lalu, semua orang mula berlatih dengan lebih baik dan bersaing dengan lebih baik [ketika kami berada di Amerika].”

“Tenaga. Itu perkara pertama, selepas itu barulah kita boleh bercakap tentang barisan empat pertahanan, pemain sayap [tetapi yang utama] mestilah berkaitan dengan tenaga,” ujar Pep Guardiola menurut sumber laporan Goal.

“Apabila kami tersingkir kepada Al-Hilal, ia bukan kerana kami gagal memenangi Piala Dunia Kelab, sebaliknya kerana kami sebenarnya bermain dengan sangat baik di sana.”

“Ia bukan suasana bercuti. Saya berasa terganggu kerana kami benar-benar bagus di sana.”

“Bagus dalam latihan, para pemain di Boca Raton, berdepan pantai, semua orang gembira, kami adakan banyak makan malam bersama, banyak perbincangan tentang apa yang akan berlaku musim ini.”

“Malah kami mahu terus tinggal di sana. Tetapi selepas itu saya berbincang dengan Pep (Lijnders), James (French), Manel (Estiarte), Hugo (Viana), Txiki (Begiristain), dan sesuatu berubah.

“Ia tidak bermakna kami pasti akan menang, tetapi untuk mengiktiraf sebuah pasukan yang mampu mencatat lapan kemenangan berturut-turut dan bersaing dengan cara seperti ini. Boleh kami perbaiki lagi? Sudah tentu, tetapi mentaliti ini jauh lebih baik.”

Pep Guardiola Ulas Kekalahan Berturut-Turut Pada Aksi Awal EPL 2025/26

Mengulas mengenai kekalahan City kepada Spurs dan Brighton pada awal musim, jurulatih dari Sepanyol itu berkata:

“Pada ketika itu, kami masih belum benar-benar mengenali pemain dan bagaimana cara terbaik untuk menyesuaikan mereka dalam permainan.”

“Pengurus bukanlah ahli sihir, bukan setiap perkara yang kita lakukan akan terus menjadi jelas. Saya sendiri tidak menjangka Nico O’Reilly mampu mempamerkan prestasi seperti yang ditunjukkannya.”

“Kadang-kadang anda juga perlu menilai diri sendiri dan melakukan sedikit perubahan kerana kami mempunyai pemain baharu dan lawan pula berdepan kami dengan pendekatan yang berbeza.”

“Sebab itu ada kalanya anda perlukan masa dan kemenangan membantu mempercepatkan proses ini untuk memanfaatkan masa tersebut demi menjadi pasukan yang lebih baik.”

“Keputusan perlawanan banyak membantu, begitu juga metodologi, peranan Pep Lijnders, James French, Kolo Toure, serta kehadiran pemain-pemain baharu. Saya mahu membantu mereka,” tambah Guardiola lagi.

 

Sumber