Pep Guardiola memberikan reaksi bersahaja apabila bercakap mengenai naratif yang sering berubah dalam perebutan kejuaraan English Premier League (EPL) sambil berseloroh mengatakan bahawa Liverpool kini ‘sudah habis’ selepas rentetan prestasi buruk mereka baru-baru ini.
Pengurus Manchester City itu membuat kenyataan sinis tersebut ketika mengimbas kembali bagaimana pasukannya pernah dianggap sudah tersingkir daripada saingan selepas tewas dua daripada tiga perlawanan pembukaan musim ini.
Baca Juga:
- Ini Perbezaan Guardiola & Conte Dari Kacamata Kevin De Bruyne

- ‘Dia Buka Mata Saya Walaupun Dalam Perkara Kecil’ – Pep Guardiola Teruja Dengan Sentuhan Pembantu Baharunya

- Pep Guardiola: Menang Piala FA 2024/25 Pun Tetap Musim Yang Buruk Buat Kami

Kenyataan itu sebenarnya lebih kepada perlian kepada pundit serta bekas pemain yang selalu memberikan komen mengenai peluang buat pasukan-pasukan yang mengalami kekalahan.
Selepas musim 2024/25 yang menyaksikan Manchester City gagal meraih sebarang trofi, skuad kendalian Pep Guardiola itu dianggap sebagai pilihan ketiga untuk merebut kejuaraan liga musim ini di belakang Liverpool dan Arsenal.
Namun, peluang The Cityzens kelihatan semakin tipis apabila mereka mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Tottenham dan Brighton pada Ogos lalu selepas memulakan kempen dengan kemenangan 4-0 ke atas Wolves.
Bagaimanapun, kini nama Manchester City kembali meniti di bibir semua pihak dalam perbincangan perebutan kejuaraan liga setelah meraih empat kemenangan dan satu keputusan seri pada lima aksi terakhir.
Skuad Guardiola kini melonjak ke tangga kedua liga, tiga mata di belakang Arsenal dan satu mata mengatasi Liverpool kendalian Arne Slot.
Sindiran Pep Guardiola
“Dalam dua atau tiga perlawanan pertama, semua orang kata kami sudah ‘habis’ dan sekarang nampaknya Liverpool (yang berada di tangga ketiga selepas tiga kekalahan berturut-turut) pula yang ‘habis’,” seloroh Guardiola menurut sumber laporan Goal.
“Saya boleh beritahu, kami akan kembali. Saya dah banyak kali cakap bahawa para penganalisis, pakar dan bekas pemain bola sepak selalu rasa mereka tahu apa yang akan berlaku selepas lima perlawanan.”
“Saya sendiri pun tak mampu buat begitu. Biasanya ambil masa 10 hingga 15 perlawanan untuk betul-betul faham apa yang sedang berlaku.”
“Liverpool dan Arsenal masih di situ, akan ada pasukan lain juga, dan harapan saya ialah kami juga akan berada dalam kelompok itu,” tambah Pep Guardiola lagi.