Futsal Indonesia kini bukan sekadar peserta dalam arena serantau, malah semakin menjadi kuasa yang disegani di Asia Tenggara.
Dalam tempoh dua tahun terakhir, pasukan lelaki, wanita, dan remaja negara ini telah mencatat kejayaan gemilang yang jarang dilihat sebelum ini.
Dari menjuarai Piala AFF 2024 hingga meraih pingat emas di Sukan SEA 2025, prestasi mereka menunjukkan bahawa futsal Indonesia sedang menapak di landasan yang betul untuk terus mendominasi benua ASEAN.
Kejayaan manis itu turut dapat dirasai skuad remaja mereka yang muncul juara Futsal B-16 ASEAN dan naib juara Futsal B-19 ASEANĀ dan pingat perak Sukan SEA 2025 bagi skuad wanita.
Apa yang menarik, kejayaan ini bukan berlaku secara tiba-tiba. Di sebalik setiap jaringan gol dan kemenangan, terdapat sistem pembangunan yang mantap, liga profesional yang kompetitif, dan sokongan padu dari Federasi Futsal Indonesia (FFI) yang menjadi tonggak utama kejayaan ini.
Tidak hairanlah, ramai pemerhati kini mula memandang Indonesia sebagai model pembangunan futsal yang berkesan di rantau ini.
Persoalannya kini apakah rahsia di sebalik konsistensi dan kekuatan futsal Indonesia? Artikel ini akan mengupas empat faktor utama yang menjadikan futsal Indonesia semakin gah di ASEAN.

1) Liga Profesional: Asas Kejayaan
Mana-mana negara sekalipun, penganjuran liga rasmi yang kompetitif dan tersusun akan menjadi elemen penting dalam melahirkan pemain-pemain berkualiti tinggi untuk diserapkan ke skuad kebangsaan dari semasa ke semasa.
Ia tidak terkecuali buat futsal Indonesia apabila Liga Futsal Indonesia mula diperkenalkan pada 2006 dan penjenamaan semula sebagai PFL pada 2016.
Saban tahun penganjuran PFL semakin memberikan kesan terutamanya dengan peraturan ditetapkan oleh Federasi Futsal Indonesia (FFI).
Sebagai contoh, FFI memutuskan bahawa mulai musim ini, penganjuran futsal Indonesia akan diserahkan kepada operator liga yang akan dibentuk dan dipantau oleh FFI.
Selain itu, PFL musim ini juga menghapuskan sistem penurunan pangkat (degradasi) dan menggunakan sistem tertutup.
Alasannya cukup rasional iaitu badan induk itu ingin menggalakkan profesionalisme dalam kalangan kelab bertanding di mana setiap kelab diharapkan mempunyai pengurusan terbaik, kewangan mampan serta infrastruktur yang menyokong perancangan jangka masa panjang.
Penyertaan kelab profesional di PFL kini ditentukan melalui penilaian menyeluruh yang merangkumi aspek pengurusan, kewangan, teknikal dan undang-undang sebagai bahan penilaian kelayakan.
Ini bermakna, kelab yang berada di PFL mulai musim ini tidak perlu risau tentang degradasi kerana FFI menjamin kelab PFL mempunyai imuniti melalui sistem lesen.
Maksudnya, jika kelab menghadapi masalah atau tidak memenuhi standard yang ditetapkan FFI, lesen kelab tersebut akan ditarik dan kelab itu tidak dibenarkan menyertai PFL.
Peraturan dan sistem baru ini tidak hanya terpakai kepada kategori lelaki, malah PFL Wanita juga akan turut dikenakan.
Sehubungan dengan itu bagi musim 2026-2027, bilangan kelab yang akan beraksi dalam saingan PFL lelaki dinaikkan daripada 12 kelab kepada 16 kelab.
Selain liga utama, FFI juga telah melancarkan PFL 2 sebagai liga kedua menggantikan Liga Nusantara yang akan bermula pada tahun 2026.
PFL 2 bertujuan sebagai liga pembangunan dan sistem feeder utama ke PFL.
Tujuan lain PFL 2 adalah sama seperti penstrukturan semula PFL iaitu untuk membina ekosistem futsal profesional yang lebih moden dan kompetitif.
Untuk slot kelab, PFL 2 akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu 8 slotĀ yang diberikan kepada kelab yang lulus penilaian dan verifikasi pada musim 2024-2025 serta 8 slot tambahan yang dibuka melalui proses bidaan lesen dengan keutamaan kepada kelab berprestasi dalam pertandingan rasmi FFI.
Malah syarat untuk pengambilan pemain import sekiranya pemain itu dari benua Asia, FFI meletakkan syarat mereka perlu sekurang-kurangnya ada satu penampilan bersama skuad kebangsaan negara masing-masing.
Semua yang diusahakan secara tidak langsung membuatkan penaja tertarik untuk menaja pasukan profesional dalam PFL.

2) Remaja & Talent Pool: Benih Juara
Selain liga profesional, perubahan juga banyak berlaku di peringkat akar umbi terutama di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Di peringkat sekolah menengah, terdapat pertandingan yang cukup popular dalam kalangan remaja di bangku persekolahan iaitu Futsal Series.
Untuk pengetahun, Futsal Series merupakan pertandingan untuk pelajar sekolah menengah di Indonesia yang pertama kali dilancarkan pada 2022.
Dari segi struktur, Futsal Series dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa serantau yang merangkumi 40 wilayah dari Aceh hingga Papua dan fasa kebangsaan yang dinamakan Grand National Championship.
Dari segi populariti, Futsal Series berkembang pesat dengan kehadiran penonton yang tinggi dan boleh dikatakan mula menyamai Development Basketball League (DBL), pertandingan bola keranjang melibatkan pelajar nombor satu di Indonesia.
Menurut sumber Kompas Asiana, aksi final baru-baru ini di Indonesia Arena mencatat kehadiran seramai 15,000 orang penonton.
Selain itum Futsal Series juga telah menjalin kerjasama yang cukup erat dengan FFI.
Difahamkan pada masa hadapan, FFI turut bercadang untuk memperkenalkan Futsal Series khas untuk pelajar wanita bagi mendorong kelahiran ramai bakat futsal wanita di peringkat akar umbi dengan lebih meluas.
Bagi peringkat institusi pengajian tinggi, terdapat National Collegiate Futsal Series yang juga berada di bawah pengurusan yang sama dengan Futsal Series.
Sistem yang digunakan juga serupa iaitu fasa serantau dengan 10 wilayah dan fasa kebangsaan.
Selain dua pertandingan tersebut, terdapat juga Axis Nation Cup iaitu kejohanan futsal antara pelajar sekolah menengah yang popular serta Campus League yang baru bermula pada 2025 melibatkan lelaki dan wanita.
Kejohanan-kejohanan peringkat akademi di bawah AAFI (Association Academy Futsal Indonesia) juga sudah berdiri lebih dari 10 tahun
Belum lagi termasuk pelbagai kejohanan dan piala lain di seluruh Indonesia yang jumlahnya tidak terkira dan tersebar merata.
Ini menunjukkan betapa luas dan pelbagai ekosistem futsal di Indonesia yang membolehkan ‘talent pool’ futsal Indonesia sentiasa melimpah dan hasilnya juga sudah jelas kelihatan.
3) FFI: Tunjang Pembangunan
FFI ialah badan pengelola futsal di Indonesia yang diwujudkan pada 22 Jun 2014 dan merupakan ahli gabungan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).
Ini bermakna futsal tidak berada dalam satu badan yang sama dengan bola sepak, bola sepak pantai dan bola sepak wanita.
Jutawan bidang penyiaran, Bambang Hary Iswanto Tanoesoedibjo dilantik sebagai ketua umum pertama FFI dan setahun kemudian, beliau digantikan dengan Micheal Victor Sianipar.
Futsal Indonesia kini terus menunjukkan perkembangan positif, dan salah satu faktor utama di sebalik kejayaan ini adalah sumbangan besar FFI.
Sebagai badan pengelola futsal di tanah air, FFI bukan sahaja menguruskan pasukan kebangsaan tetapi juga menekankan pembangunan futsal dari peringkat akar umbi hingga profesional.
Salah satu sumbangan terbesar FFI adalah dalam mendukung penuh perkembangan futsal bagi pelbagai kategori usia termasuk di sekolah rendah dan sekolah menengah.
Melalui inisiatif ini, FFI membuka platform bagi pelajar dan remaja untuk menunjukkan bakat mereka sejak awal sekaligus menjadi sumber talent pool bagi pasukan kebangsaan dan kelab profesional di Indonesia.
FFI juga memainkan peranan penting dalam memilih jurulatih pasukan kebangsaan yang memahami budaya dan model permainan di Indonesia.
Sebagai contoh, Hector Souto yang pernah dua kali membawa Bintang Timur Surabaya menjuarai PFL dipilih untuk mengetuai pasukan kebangsaan.
Pilihan ini memastikan gaya permainan pasukan nasional selaras dengan kekuatan dan potensi pemain tempatan.
Selain itu, FFI turut memastikan perkembangan futsal disokong secara menyeluruh di seluruh negeri.
Di setiap daerah dan bandar, terdapat organisasi yang dilibatkan secara langsung untuk menapis bakat pemain muda yang berpotensi.
Organisasi di setiap daerah merupakan cabang atau lanjutan daripada FFI dipanggil sebagai ‘perpanjangan tangan’.
Di peringkat wilayah disebut AFP (Asosiasi Futsal Provinsi) manakala di peringkat bandar digelar AFK (Asosiasi Futsal Kota).
Kesemua organisasi ini bekerjasama erat dengan FFI bagi menyediakan sokongan yang diperlukan kepada pemain dan kelab termasuk peluang untuk menyertai pasukan kebangsaan atau liga profesional.
Apa yang menonjol adalah pendekatan FFI yang bersifat inklusif dan menyeluruh. Semua pihak dari kelab tempatan hingga pasukan kebangsaan, bekerjasama di bawah payung FFI untuk memajukan futsal Indonesia.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti permainan, tetapi juga membina ekosistem futsal yang lebih teratur, profesional dan berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dengan strategi pembangunan yang mantap dan sokongan bersepadu, FFI jelas menjadi tonggak utama di sebalik kejayaan futsal Indonesia, menjadikan negara ini bukan sahaja sebagai peserta tetapi juga pesaing yang disegani di arena futsal dunia.
4) Filosifi Souto: Gaya Seragam Dari Atas Ke Bawah
Salah satu faktor utama di sebalik kekuatan futsal Indonesia adalah keseragaman filosofi permainan yang diterapkan oleh Hector Souto.
Pendekatan ini memastikan semua pemain dari peringkat akar umbi hingga pasukan senior dapat memahami gaya permainan, strategi dan budaya futsal Indonesia yang sama.
Dengan filosofi yang konsisten, pemain muda dibangunkanĀ melalui aura liga profesional, Futsal Series atau program pembangunan lain.
Keadaan tersebut lebih mudah buat bakat baharu untuk menyesuaikan diri apabila dipanggil ke skuad kebangsaan.
Keseragaman ini juga membantu pasukan kebangsaan mengekalkan identiti dan kelebihan taktikalnya di pentas serantau dan antarabangsa.