Skuad kebangsaan Argentina telah menggaris satu peraturan baharu melibatkan pemain-pemain muda yang mahu membuat penampilan bersama pasukan tersebut.

Menurut sumber laporan One Football, Argentina tidak akan memanggil mana-mana pemain yang berpindah ke Eropah tanpa terlebih dahulu menandatangani kontrak profesional di Argentina untuk menyarung jersi skuad kebangsaan di peringkat remaja.

Baca Juga:

Keputusan drastik itu diambil susulan kes melibatkan Luca Scarlato yang meninggalkan River Plate dengan menggunakan kuasa penjagaan ibu bapa.

Tindakan Tegas Argentina FA

Mengikut pandangan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), tindakan itu bukan sahaja tertumpu kepada ejennya, Martín Guastadisegno, malah turut menyorot satu amalan yang berpotensi melemahkan kelab-kelab pembangunan pemain muda.

Langkah berkenaan disahkan oleh Javier Méndez Cartier, pegawai yang bertanggungjawab ke atas pasukan kebangsaan B-20 dan B-23 negara itu.

“Berdasarkan keputusan Presiden kami dan Jawatankuasa Eksekutifnya, pentadbiran AFA sentiasa berusaha mempertahankan kepentingan kelab-kelab yang membangunkan pemain.”

“Sesiapa yang tidak memahami perkara ini dan memilih untuk menggunakan hak penjagaan ibu bapa bagi berhijrah, tidak akan dipanggil ke mana-mana pasukan kebangsaan remaja.”

Dasar baharu ini tidak terhad kepada kes Scarlato semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira situasi lain yang serupa seperti kes Milton Pereyra, bekas pemain Boca Juniors berpindah ke Napoli sebulan lalu menggunakan mekanisme sama.

Selain itu, Francisco Barido turut meninggalkan Boca Juniors untuk menyertai Juventus dengan menggunakan kuasa penjagaan ibu bapa.

Sumber