Berita mengejutkan menyelubungi kem Manchester United selepas pengurus pasukan, Ruben Amorim akhirnya dipecat.
Perkembangan terkini itu disahkan oleh wartawan bola sepak terkenal dunia, Fabrizio Romano dalam satu hantaran di laman sosial peribadi miliknya sebentar tadi.
“Keputusan dibuat oleh kelab pagi ini dan sah serta-merta selepas RĂºben Amorim merungut semalam. Semuanya telah berakhir.”
Menyertai United pada 11 November 2024, Amorim tidak menikmati kestabilan yang diharapkan bersama pasukan dengan prestasi yang tidak konsisten di English Premier League (EPL) dan kegagalan mencapai sasaran yang ditetapkan pengurusan kelab.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Ruben Amorim mengejutkan semua pihak apabila secara terbuka mengkritik hierarki tertinggi kelab itu.
Beliau dilaporkan mempunyai hubungan yang semakin renggang dengan Pengarah Bola Sepak Manchester United, Jason Wilcox malah mengingatkan Man United bahawa dia datang ke kelab itu untuk menjadi pengurus bukannya sekadar menjadi ketua jurulatih.
Dengan pemecatan ini, Manchester United kini dijangka memulakan proses mencari pengurus baharu dengan segera bagi memastikan baki musim tidak terganggu terutamanya dalam usaha mereka mengejar slot Liga Juara-Juara dan kejayaan di piala domestik.