Bekas prodigi dan prospek akademi Chelsea, Lamisha Musonda, mengesahkan bahawa dia hanya mempunyai “beberapa hari” sahaja lagi untuk hidup menerusi satu hantaran media sosial yang amat menyayat hati.
Pemain berusia 33 tahun itu, yang pernah menimba pengalaman di akademi Chelsea, mendedahkan bahawa dia telah berjuang melawan satu penyakit misteri sejak dua tahun lalu dan berikrar bahawa dia “tidak akan berputus asa sehingga nafas terakhir.”
Musonda, yang pernah beraksi dalam perlawanan pramusim untuk pasukan Bawah 21 Tahun Chelsea, berkongsi berita memilukan bahawa hayatnya tidak panjang dalam satu hantaran di media sosial.
Dia menulis: “Apabila saya sedar bahawa saya hanya mempunyai beberapa hari lagi untuk hidup, saya juga sedar bahawa ramai insan yang baik telah berada di sisi saya dan saya akan sentiasa menghargai kenangan itu,” tulis Musonda.
“Kehidupan itu sukar, tetapi pemandangannya indah.”
Musonda meneruskan hantarannya dalam bahasa Perancis dengan berkata: “Kehidupan penuh dengan turun naik, dan tiada siapa yang benar-benar dapat memahami kesakitan yang anda lalui.
“Dua tahun kebelakangan ini amat sukar dan mencabar buat saya.
“Dengan penuh kesedihan, saya umumkan bahawa saya sedang bergelut untuk memulihkan kesihatan saya. Inilah sebab mengapa saya lama menghilang dari media sosial.
“Saya terpaksa berdepan dengan kenyataan — kesihatan saya berada pada tahap kritikal, dan kini saya sedang berjuang untuk terus hidup. Bantuan serta doa anda amat saya hargai pada waktu ini.
“Keluarga saya dan saya sedang berjuang, dan saya tidak akan berputus asa sehingga nafas terakhir.
“Saya bernasib baik kerana memiliki kehidupan awal yang indah, dan saya masih mempunyai begitu banyak perkara untuk disumbangkan.
“Namun, terdapat begitu ramai insan hebat yang saya ingin ucapkan terima kasih secara bersemuka — dan hakikat bahawa saya mungkin tidak berpeluang berbuat demikian amat mendukacitakan saya,” katanya lagi.
Beberapa pemain turut memberikan kata-kata sokongan kepada Musonda di ruangan komen, termasuk bintang Napoli dan Belgium, Romelu Lukaku.
“Tabah Lamisha, kami bersama kamu,” tulis Lukaku.
Bekas pengarah Chelsea, Marina Granovskaia, turut menambah: “Saya amat berharap kamu dapat mengatasi masalah kesihatan ini. Doa saya bersama kamu dan keluarga.”
Musonda menyertai akademi Chelsea pada tahun 2012 dari kelab gergasi Belgium, Anderlecht.
Di Cobham, di mana dia turut disertai oleh adiknya, Charly, Musonda bermain bersama pemain yang kemudiannya menjadi bintang Liga Perdana Inggeris seperti Nathan Aké, Patrick Bamford dan Andreas Christensen.
Pemain berusia 33 tahun itu tidak pernah membuat penampilan bersama pasukan utama Chelsea sebelum dijual kepada kelab Belgium, KV Mechelen, pada Januari 2014.
Dia kemudiannya beraksi bersama Llagostera dan Palamós di Sepanyol sebelum menyertai kelab Congo, Mazembe, pada November 2018.