Susulan tular rakaman dashcam melibatkan orang penting dalam jenama streetwear Stoned & Co. bersikap agresif dan membuli jalanan, pemandu itu tampil mengeluarkan kenyataan rasmi permohonan maaf.

“Saya menulis ini untuk bertanggungjawab sepenuhnya. Saya benar-benar memohon maaf kepada orang awam dan komuniti Stoned & Co. atas kesulitan yang telah saya timbulkan,” kata pemandu Ferrari itu.

Baca Juga:

“Saya ingin menjelaskan secara terbuka mengenai video yang sedang tular baru-baru ini.

“Walaupun insiden tersebut berlaku di luar premis Stoned & Co., saya ingin menegaskan bahawa insiden itu sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan jenama tersebut — ia bukan satu gimik publisiti atau tindakan yang disokong oleh jenama mahupun syarikat ini.

“Ia adalah kesilapan pertimbangan (poor judgment) daripada pihak saya sendiri.

“Tanpa mengambil kira situasi yang berlaku, bertindak mengikut emosi bukanlah respon yang betul.

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan saya dan mengakui bahawa saya perlu bermuhasabah diri tentang cara saya membawa diri, tanpa mengira emosi dan pertimbangan saya pada waktu tersebut,” jelasnya.

Tambahnya lagi, dia telah memohon maaf secara peribadi kepada individu berkenaan dan menawarkan diri untuk membaiki keretanya.

“Sebab itulah sebelum ini saya telah menghubungi individu terbabit untuk memohon maaf secara peribadi atas apa yang berlaku, dan juga menawarkan diri untuk membaiki atau membayar ganti rugi kerosakan kesan batu (stone chips) pada keretanya, namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Dalam pada itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyatakan keprihatinan mereka.

“Saya menghargai peringatan untuk sentiasa bertindak dengan sabar dan hormat, dan saya sekali lagi memohon maaf kepada pihak yang telah saya lukai atau sakiti melalui tindakan saya,” katanya lagi.

Terdahulu, pihak pengurusan Stone & Co. telah mengeluarkan kenyataan rasmi dalam menjelaskan situasi sebenar dan pendirian mereka di dalam perihal tersebut.

Menurutnya, insiden itu sama sekali tidak mencerminkan nilai, budaya kerja serta piawaian profesional yang dipegang oleh jenama tersebut.