Manchester City mengalami kekalahan mengejut 3-1 kepada pasukan Norway, Bodø/Glimt, dalam aksi Liga Juara-Juara, yang disifatkan penyerang utama Erling Haaland sebagai “memalukan”.
Haaland memohon maaf kepada penyokong dan mengakui kegagalannya menjaringkan gol, sambil memuji permainan cemerlang Bodø/Glimt yang layak menang. Kekalahan itu hadir hanya beberapa hari selepas City tewas 2-0 kepada Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris, menambah tekanan ke atas pasukan Pep Guardiola.
Perlawanan tersebut turut menyaksikan pemain tengah, Rodri dibuang padang selepas menerima dua kad kuning berturut-turut. Guardiola mengakui “segalanya sedang berjalan serba tidak kena” buat pasukannya, dengan momentum permainan sering memihak kepada lawan.
City kini hanya menang dua daripada tujuh perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
Erling Haaland berkata kepada TNT Sports: “Saya tidak ada jawapan. Saya ambil tanggungjawab penuh kerana gagal menjaringkan gol yang sepatutnya.
“Saya hanya ingin memohon maaf kepada semua; setiap penyokong Man City dan setiap penyokong yang datang hari ini, kerana akhirnya ia memang memalukan.
“Bodø bermain bola sepak yang sangat hebat dan akhirnya mereka memang layak menang. Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan kerana saya tidak ada jawapan, dan apa yang boleh saya katakan hanyalah maaf.”
🚨 Erling Haaland: “I don’t have the answers. I take full responsibility of not being able to score”.
“I just apologise to everyone; every single Man City supporter, every supporter that travelled to Bodo, because in the end it’s embarrassing”, told TNT Sports. pic.twitter.com/8DuHVeCjsU
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) January 20, 2026
Kedudukan City dalam Liga Juara-Juara juga terancam, apabila mereka berisiko terkeluar daripada lapan teratas yang layak automatik ke pusingan 16. Masalah kecederaan memburukkan keadaan, khususnya di bahagian pertahanan apabila beberapa pemain utama seperti Rúben Dias, John Stones dan Joško Gvardiol tidak dapat diturunkan.
Guardiola menegaskan pasukannya masih berjuang, namun perlu segera mengubah momentum menjelang perlawanan liga seterusnya dan aksi penentuan menentang Galatasaray, yang akan menentukan nasib mereka dalam kejohanan Eropah.