Erling Haaland telah menerima empat sijil Guinness World Records atas pencapaian luar biasanya dalam saingan English Premier League (EPL), UEFA Champions League (UCL) dan UEFA Nations Cup.
Pencapaian hebat dikecapinya sewaktu bersama Manchester City dan skuad kebangsaan Norway memperlihatkan aura hebat dimiliki penyerang berbisa tersebut.
Pada usia 26 tahun, Erling Haaland sudah memiliki koleksi rekod yang sukar ditandingi oleh kebanyakan pemain bola sepak dan kini empat daripada pencapaian paling menonjolnya telah diiktiraf secara rasmi oleh Guinness World Records.

4 Rekod Dunia Erling Haaland
Menurut sumber laporan beIN Sports, empat pencapaian yang diiktiraf itu merangkumi rekod Haaland yang mencapai 100 gol terpantas dalam EPL, musim pertamanya yang luar biasa di England, rekod jaringan dalam UEFA Nations League, serta prestasi bersejarahnya dalam satu perlawanan UCL.
Pengiktirafan pertama berkisar mengenai angka yang sinonim dengan Haaland iaitu 100 gol dalam kempen EPL bersama Manchester City.
Pemain Norway kelahiran Leeds itu mencapai pencapaian tersebut pada 2 Disember 2025 ketika menyempurnakan sepakan penalti menentang Fulham. Haaland mencatatkan 100 gol hanya selepas membuat 111 penampilan, sekali gus menjadi pemain terpantas dalam sejarah EPL untuk mencapai jumlah tersebut.
Pencapaian itu lebih mengagumkan memandangkan Haaland hanya membuat penampilan sulung bersama Manchester City pada musim 2022/23.
Dalam tempoh lebih tiga tahun sejak tiba di bola sepak England, beliau berubah daripada salah seorang bakat serangan paling menjanjikan di Eropah kepada antara pemain paling dominan dari segi statistik dalam sejarah liga.
Pada musim pertamanya bersama The Cityzens, Haaland menjaringkan 36 gol dalam 38 penampilan EPL, satu jumlah yang membolehkannya mencatatkan satu lagi rekod yang diiktiraf oleh Guinness World Records.
Pemain Norway itu mengatasi catatan 32 gol Mohamed Salah pada musim 2017/18, selain memintas jumlah 34 gol yang dicatatkan oleh Andy Cole dan Alan Shearer masing-masing pada musim 1993/94 dan 1994/95.
Lebih menarik, musim ketika Cole dan Shearer menjaringkan 34 gol itu berlangsung dalam 42 perlawanan liga, manakala Haaland mencapai 36 gol tersebut dalam saingan yang hanya mempunyai 38 perlawanan.
Dua lagi pengiktirafan itu membuktikan kemampuan Haaland menjaringkan gol bukan hanya terhad kepada bola sepak kelab di England. Bersama Norway, penyerang itu menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam UEFA Nations League dengan 19 gol yang dijaringkan antara September 2020 hingga November 2024.

Namun, rekod paling mencuri perhatian mungkin hadir dalam saingan UCL. Pada 14 Mac 2023, Haaland menjaringkan lima gol ketika menentang RB Leipzig, sekali gus menghasilkan antara persembahan individu paling menakjubkan dalam sejarah pertandingan berprestij Eropah itu.
Dengan lima jaringan tersebut, pemain Norway itu menyamai rekod yang sebelum ini dikongsi oleh Lionel Messi dan Luiz Adriano, yang turut menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan UCL.
Penyerang itu juga semakin popular di luar padang. Guinness World Records menyatakan jumlah pengikutnya di Instagram meningkat sekitar 24 juta ketika berlangsungnya Piala Dunia, didorong oleh personalitinya, temu bual yang mencuri perhatian serta aksi cemerlangnya di atas padang.