Suhu puncak gunung Mau Son, Vietnam setinggi 1,500 meter dilaporkan telah menurun kepada 0 darjah Celsius dengan lapisan nipis ais sudah mula kelihatan.

Perkembangan terkini itu disahkan sumber laporan VN Express yang turut mendedahkan suhu di Hanoi sedikit melebihi 10 darjah celcius.

Menurut Pusat Ramalan Meteorologi dan Hidrologi Negara, pada pukul 6 pagi hari ini, Mau Son (Lang Son), puncak gunung yang bersempadan dengan China mencatatkan suhu 0 darjah Celsius. Keadaan yang menjadikannya suhu terendah di Vietnam Utara.

Lapisan nipis ais mula terbentuk di puncak gunung, melekat pada pagar dan pucuk pokok dan menunjukkan tanda-tanda semakin menebal.

Vietnam ‘Kesejukan’

Beberapa puncak gunung lain mencatat suhu rendah seperti Trung Khanh (Cao Bang) dengan 4 darjah celsius, Dong Van (Tuyen Quang) 6 darjah celsius dan Tam Dao (Phu Tho): 6 darjah celsius.

Di kawasan dataran, suhu terendah dicatatkan di Chi Linh (Hai Phong), Phu Ly (Ninh Binh) dan Hung Yen iaitu 9 darjah Celsius.

Lima stesen cuaca di Hanoi termasuk Ba Vi, Son Tay, Lang, Hoai Duc dan Ha Dong menunjukkan suhu antara 10.2 hingga 10.9 darjah Celsius.

Pusat Ramalan Meteorologi dan Hidrologi Negara mengumumkan bahawa hari ini, gelombang sejuk tersebut akan bergerak ke kawasan Utara Tengah dan Barat Laut, kemudian ke wilayah Tengah, menyebabkan suhu terus menurun.

Suhu terendah di Utara dan Thanh Hoa dijangka 11–14 darjah Celsius, manakala kawasan gunung mencatat 8–11 darjah Celsius, dan kawasan gunung tinggi boleh mencecah 5 darjah Celsius. Suhu di kawasan dari Nghe An hingga Hue secara amnya dijangka 14–17 darjah Celsius.

Sehubungan dengan itu, agensi meteorologi memberi amaran bahawa cuaca sejuk yang melampau berpotensi menjejaskan penternakan haiwan serta melambatkan atau merosakkan pertumbuhan tanaman.

Hujan lebat pula berisiko menyebabkan banjir di kawasan rendah, banjir kilat di sungai dan anak sungai kecil, serta tanah runtuh di lereng bukit.