Finalis edisi lalu, Thailand memulakan kempen Piala Asia Futsal 2026 dengan nota kemenangan selepas menundukkan Lebanon 2-0 pada aksi yang berlangsung di Jakarta International Velodrome sebentar tadi.
Thailand yang kini dibimbing Rakphol Sainetngam lebih menguasai permainan tetapi kecemerlangan penjaga gol Lebanon, Karim Joueidi menghalang mereka untuk menang dengan kelebihan lebih besar.
Joueidi cukup tangkas terutamanya pada separuh masa pertama dalam menggagalkan beberapa percubaan berbahaya dijelmakan Thailand menerusi Muhammad Osamanmusa dan Worasak Srirangpirot.
Keadaan yang membolehkan skuad kendalian Ricardo Iniguez itu mengikat kedudukan tanpa jaringan pada separuh masa pertama.
Aksi Pembukaan Piala Asia Futsal 2026 Milik Thailand
Memasuki babak kedua, Thailand meneruskan penguasaan permainan dengan melancarkan serangan berbahaya ke kubu Joueidi.
Kem Thailand melonjak keriangan pada minit ke-27 selepas kuisan ‘back heel’ Worasak selepas menerima hantaran lolos Therdsak Charoenpong akhirnya membolosi gawang Lebanon.
Jaringan itu jelas meningkatkan moral barisan pemain Thailand untuk terus menekan Lebanon yang lebih banyak bertahan dan sesekali melakukan serangan balas pantas.
Berselang tujuh minit kemudian, Osamanmusa pula menemui sentuhan jaringan apabila gerakannya setelah melepasi kawalan Mohsen Mohsen disudahkan dengan rembatan kaki kiri yang terus menuju ke sudut atas pintu gol lawan.
Ketinggalan dua gol, Iniguez menggunakan taktikal ‘Power Play’ dalam usaha untuk mengurangkan defisit jaringan.
Namun, barisan pemain Thailand kekal berdisiplin dalam memastikan gawang mereka tidak dibolosi untuk mengesahkan kemenangan 2-0 untuk tiga mata pertama dalam Piala Asia Futsal 2026.