Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi mengumumkan kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi penggal 2025–2029 meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela dengan serta-merta.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan badan induk bola sepak itu, keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab terhadap organisasi serta tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan peribadi atau jawatan.

Langkah ini disifatkan sebagai berhemah dan berprinsip, susulan situasi semasa yang telah menarik perhatian umum, sekali gus menuntut satu tindakan tegas demi menjaga nama baik FAM.

Jawatankuasa Eksekutif menegaskan bahawa peletakan jawatan ini adalah satu bentuk tanggungjawab kolektif, selain keperluan untuk bertindak bagi melindungi integriti FAM sebagai sebuah institusi.

Objektif Exco FAM Letak Jawatan

Dalam kenyataan sama, exco badan induk itu turut menggariskan enam perkara yang menjurus kepada objektif peletakan jawatan seperti berikut:

“Menjaga reputasi dan kepentingan organisasi FAM serta mengurangkan risiko lebih buruk yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.”

“Menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti, terutamanya dalam keadaan di mana keyakinan awam perlu dipelihara.”

“Menyediakan ruang sewajarnya kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk bebas menilai, meneliti dan jika perlu, menangani perkara-perkara berkaitan tadbir urus serta hal ehwal pentadbiran FAM.”

“Memastikan sebarang pembaharuan yang perlu dilaksanakan dapat dijalankan tanpa gangguan atau konflik persepsi dan dengan asas kepercayaan yang tinggi.”

“Menunjukkan bahawa khidmat kepada bola sepak Malaysia lebih utama berbanding tempoh jawatan, walaupun Ahli Jawatankuasa Eksekutif telah diberikan mandat selama empat tahun (penggal 2025–2029) – melepaskan jawatan secara sukarela selepas 11 bulan dipilih.”

“Memulihkan keyakinan dalam kalangan penyokong, pihak berkepentingan, rakan kongsi, dan komuniti bola sepak secara keseluruhan. Mengekalkan kredibiliti institusi adalah penting bagi kestabilan, kelestarian, dan pembangunan masa depan bola sepak Malaysia.”

 

Sumber