Malaysia memulakan kempen Piala Asia Futsal 2026 dengan kekalahan selepas tewas 1-4 kepada juara bertahan, Iran dalam aksi yang berlangsung di Jakarta International Velodrome sebentar tadi.

Kekalahan itu bagaimanapun bukanlah satu keputusan yang memalukan kerana Iran turun dengan reputasi sebagai antara kuasa besar futsal dunia.

Malah, Iran juga merupakan pemenang terbanyak dalam sejarah Piala Asia Futsal dengan 13 kejuaraan dimenangi.

Piala Asia Futsal 2026
Kredit Foto: FAM

Malaysia Tidak Gentar Hadapi Iran

Meskipun tewas, pujian harus diberikan buat barisan pemain kendalian Addie Azwan Zainal yang tidak gentar menghadapi tekanan hebat dijelmakan Iran sepanjang perlawanan.

Bermula sahaja perlawanan, Awalluddin Mat Nawi dua kali mengancam kubu Iran yang dikawal Bagher Mohammadi.

Percubaan jarak jauh serta rembatan dari sudut sukar daripada Awalluddin berjaya diselamatkan Bagher yang cemerlang di gawangnya.

Tidak sampai seminit, Iran mendapatkan jaringan pembukaan selepas kesilapan Saad Sani dalam kawasan D digunakan sepenuhnya Mohammad Hossein Derakhshani untuk meletakkan Iran dihadapan.

Piala Asia Futsal 2026: Malaysia Tewas Di Tangan Iran 1-4
Kredit Foto: FAM

Malaysia mendapat peluang pada minit kelima selepas Firdaus Ambiah mendapat lorongan baik dari Danial Dain. Namun, percubaannya ketika hanya berhadapan dengan Bagher diselamatkan penjaga gol tersebut.

Aksi selepas itu menyaksikan deretan percubaan dilancarkan Iran berjaya dikekang dengan baik disiplin tinggi pemain negara ketika bertahan.

Penjaga gol, Muhammad Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln juga bertindak cemerlang dalam menafikan percubaan demi percubaan diledakkan pemain Iran.

Memasuki babak kedua, konsentrasi pemain negara sedikit terganggu hingga menyebabkan pasukan ranking kelima dunia itu dapat menambah tiga jaringan pantas menerusi Behrooz Azimi (minit ke-25), Hossein Tayebi (minit ke-27) dan Moslem Oladghobad pada minit ke-28.

Jaringan yang dinantikan kem Malaysia hadir pada minit ke-39 selepas kesilapan pemain Iran membolehkan Mohd Khairul Effendy Bahrin meluru pantas ke hadapan dan memberikan ruang buat Awalluddin untuk membolosi gawang Iran.

Skuad negara akan turun menentang Afghanistan pada 30 Januari nanti dan hanya kemenangan akan membuka peluang untuk mara ke suku akhir.