Pep Guardiola sekali lagi secara terbuka menyatakan sokongannya kepada Gaza. Terbaru pengurus Man City telah menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin dalam acara “Concert for Palestine” di Barcelona.
Dalam konsert tersebut, Guardiola turut diberikan peluang untuk berucap dan dia menggunakan kesempatan itu untuk menyatakan bahawa dia dan rakyat Barcelona berdiri teguh di belakang golongan lemah yang ditindas.
Pep Guardiola berkata: “Kami berada di pihak yang ditindas. Hari ini kami berdiri teguh bersama Palestin, tetapi bukan Palestin sahaja, malah bersama semua perjuangan.

“Ini adalah pendirian untuk Palestin, dan untuk kemanusiaan.
“Seperti di Barcelona ketika kami dibom pada tahun 1938, hari ini — seperti di London dan Paris — kami berdiri di hadapan dunia dan secara terbuka menunjukkan bahawa kami berpihak kepada golongan yang paling lemah.”
Pep Guardiola: Seolah-olah kita mengabaikan mereka
Guardiola kemudian menceritakan detik yang masih menghantui dirinya apabila melihat rakaman video seorang kanak kanak yang berada di tengah tengah runtuhan mencari ibunya.
Guardiola kesal kerana seolah olah dunia telah membiarkan dan mengabaikan mereka.
Guardiola menambah: “Saya melihat seorang kanak-kanak merakam dirinya sendiri, merayu ‘di mana ibu saya?’ di tengah-tengah runtuhan, dan dia sendiri masih tidak faham apa yang sedang berlaku.

“Dan saya selalu terfikir: apakah yang sedang difikirkan oleh kanak-kanak itu? Saya rasa kita telah meninggalkan mereka, mengabaikan mereka.
“Saya selalu membayangkan mereka berkata, ‘Di mana kamu? Datanglah bantu kami.’
“Dan setakat ini, walaupun sekarang, kita masih belum melakukannya! Kita telah membiarkan mereka keseorangan!”
On stage in Barcelona, Pep Guardiola @pepteam speaks for the children of Gaza during the Act x Palestine charity event. Wearing a keffiyeh, he welcomes everyone with a ‘Salam Aleykoum.’
Funds raised tonight are destined for grassroots and humanitarian projects in Palestine. pic.twitter.com/FFoIzPykNd
— Leyla Hamed (@leylahamed) January 29, 2026
Ini bukanlah pertama kali Pep Guardiola menyatakan sokongan terbuka buat Gaza. Sejak dulu lagi Guardiola menjadi antara tokoh paling lantang bersuara tentang isu kemanusiaan di negara tersebut.
Bandar Barcelona atau Catalonia memang dikenali sebagai antara bandar kuat yang menyokong Gaza sejak berdekad dekad lamanya.