Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS) telah mengumumkan tarikh bagi perbicaraan berhubung hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, CAS telah memaklumkan bahawa perbicaraan secara bersemuka bagi prosiding berikut akan berlangsung pada 26 Februari 2026.

Perbicaraan tersebut bakal diadakan di ibu pejabat CAS di Lausanne, Switzerland.

Prosiding melibatkan ‘pertikaian’ FAM dan kesemua pemain warisan menentang FIFA itu digabungkan dan akan didengar secara bersama.

Para pemain yang terlibat dalam rayuan ini sebelum ini telah dikenakan penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak oleh FIFA pada 25 September 2025.

Bagaimanapun, pada 26 Januari lalu, CAS telah mengeluarkan langkah sementara (provisional measures) untuk menggantung pelaksanaan hukuman tersebut sehingga keputusan muktamad dibuat.

Keputusan langkah sementara itu membolehkan kesemua pemain terbabit kembali beraksi bersama kelab dan skuad kebangsaan sementara menunggu keputusan penuh daripada badan kehakiman sukan tertinggi dunia tersebut.

Perbicaraan ini dijangka menjadi penentu utama sama ada hukuman yang dikenakan FIFA ke atas FAM dan pemain-pemain warisan berkenaan akan dikekalkan, dipinda atau dibatalkan sepenuhnya.

FIFA masih berpegang kepada pendirian asal berhubung hukuman yang dikenakan manakala FAM konsisten mempertahankan proses dokumentasi dan pendaftaran pemain yang telah dilakukan sebelum ini.

Keputusan muktamad dijangka diumumkan dalam tempoh beberapa minggu selepas perbicaraan berlangsung.

Sumber