Insiden kad merah yang diterima pemain pertahanan West Ham United, Jean-Clair Todibo selepas mencekik Joao Pedro pada lewat aksi bertemu Chelsea awal pagi tadi nyata mencuri tumpuan peminat bola sepak Eropah.
Ketegangan mula berlaku selepas Adama Traore ‘menghumban’ Marc Cucurella di penjuru kiri pintu gol Chelsea.
Pedro melakukan tindak balas dengan menolak Traore dan kemudiannya keadaan menjadi tidak terkawal hingga menyebabkan Todibo mencekik penjaring gol pertama Chelsea pada perlawanan tersebut.
Setelah rujukan Video Assistant Referee (VAR) dibuat, pengadil tidak teragak-agak ‘menghadiahkan’ kad merah buat Todibo.
Tindakan tersebut bukan sahaja mencetuskan kontroversi, malah kembali mengingatkan terhadap satu episod hitam lain dalam karier bek Perancis itu.
Sisi ‘Buruk’ Jean-Clair Todibo
Pada musim 2022/23, perlawanan kelapan Ligue 1 menentang Angers SCO di Allianz Riviera menjadi antara detik paling malang buat beliau yang ketika itu menyarung jersi OGC Nice.
Todibo dilayangkan kad merah seawal sembilan saat permainan. Tanpa sebarang amaran atau kad kuning, beliau diperintahkan keluar padang oleh pengadil, Bastien Dechepy selepas melakukan kekasaran terhadap Abdallah Sima yang sedang mara ke arah kawasan penalti.
Walaupun keputusan tersebut menerima bantahan, pengadil kekal dengan pendiriannya, sekali gus menyaksikan Todibo terpaksa meninggalkan padang dengan wajah tenang dalam situasi yang cukup mengejutkan.
Insiden itu menjadikannya antara pemain yang menerima kad merah terpantas dalam sejarah bola sepak profesional, satu rekod yang masih menghantui namanya sehingga ke hari ini.
Ironinya, pengulangan episod kad merah ini seakan menggambarkan bahawa isu disiplin dan kawalan emosi masih menjadi cabaran terbesar dalam karier Jean-Clair Todibo
Walaupun memiliki kualiti pertahanan bertaraf tinggi, detik-detik seperti ini sering menenggelamkan konsistensi prestasi yang sepatutnya menjadi kekuatannya di peringkat tertinggi.
Berdasarkan tinjauan statistik di laman transfermarkt, Todibo telah menerima empat kad merah sepanjang kariernya sejak musim 2016/17.