Kempen Piala Asia Futsal 2026 semakin menghampiri kemuncaknya apabila empat pasukan terbaik kini sudah dapat dipastikan untuk berentap di peringkat separuh akhir.
Selepas aksi suku akhir yang penuh drama, taktikal dan intensiti tinggi, kejohanan di Jakarta itu membuktikan mengapa ia merupakan pentas futsal paling kompetitif di Asia.
Slot pertama diisi juara bertahan, Iran yang tampil cemerlang untuk menundukkan Uzbekistan 7-4 pada aksi yang berlangsung di Jakarta International Velodrome.

Iran merupakan pemenang terbanyak dalam sejarah Piala Asia Futsal apabila menjuarainya sebanyak 13 kali.
Lawan yang bakal dihadapi Iran pada aksi separuh akhir Piala Asia Futsal 2026 ialah Iraq setelah skuad kendalian Joao Carlos itu menghampakan naib juara edisi lalu, Thailand dengan keputusan 4-2.
Juara empat kali, Jepun pula tidak terlalu berdepan masalah ketika menumpaskan Afghanistan 6-0 dengan ketua pasukan, Kazuya Shimizu meledakkan hatrik pada perlawanan tersebut.

Paling menarik pastinya kejayaan tuan rumah, Indonesia yang mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan Vietnam 3-2 untuk melakar sejarah mara buat pertama kali ke separuh akhir kejohanan ini.
Jadual aksi separuh akhir Piala Asia Futsal 2026
5 Februari (Khamis) – Indonesia Arena
1) Iran lawan Iraq – 6.00 Petang
2) Indonesia lawan Jepun – 8.00 Malam