Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Dr. Malik Yatam, penerima pengampunan penuh tahun 2024 yang melakar sejarah sebagai banduan pertama memperoleh Ph.D di dalam penjara.

Dalam pertemuan tersebut, Baginda turut meluangkan masa bertanyakan perkembangan terkini serta hala tuju kerjaya Dr. Malik bagi fasa kehidupan baharu beliau.

“Baginda amat terharu dengan kisah perjalanan hidup Malik dan baginda merasakan beliau layak diberi peluang kedua.

“Baginda sudah mempertimbangkan pengampunan sebaik melihat semua faktor yang disembah maklum semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 November 2024.

“Baginda turut menasihatkan Malik agar terus menjaga nama baik keluarga dan sentiasa bersemangat untuk memperbaiki taraf hidup,” demikian kenyataan Selangor Royal Office hari ini.

Menurut maklumat daripada Selangor Royal Office, sesi menghadap yang menjangkau tempoh hampir sejam itu diselubungi suasana hening dan menyentuh hati, menggambarkan keinsafan serta emosi yang mendalam antara kedua-dua pihak.

“Ini adalah pertemuan pertama seumpamanya antara Tuanku Sultan Sharafuddin dengan seorang bekas banduan yang mendapat pengampunan daripada baginda,” kata kenyataan itu.

Selepas 24 tahun menjalani hukuman di penjara, Malik (atau Dr. Murad) akhirnya dibebaskan pada 11 Disember 2024.

Beliau sebelum ini menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (TLS), iaitu satu bentuk hukuman tanpa tarikh pembebasan tetap yang diberikan kepada pesalah di bawah umur 18 tahun sebagai ganti kepada hukuman mati.

Kisah hidupnya bermula pada tahun 2001. Ketika baru berusia 14 tahun, Malik nekad berhijrah dari Sabah ke Semenanjung Malaysia untuk bekerja demi menyara keluarganya yang dihimpit kemiskinan.

Namun, niat murninya bertukar menjadi tragedi apabila beliau menjadi mangsa eksploitasi dan penderaan majikan. Konflik tersebut akhirnya membawa kepada satu insiden yang menyebabkan beliau dijatuhi hukuman penjara pada usia yang sangat muda.

Walaupun pada mulanya beliau merasakan masa depannya telah hancur, Malik mula menyedari bahawa pendidikan adalah satu-satunya jalan untuk mengubah nasibnya. Biarpun berada di sebalik jeriji besi tanpa guru atau kelas formal, beliau tetap gigih berusaha:-

Bermula tahun 2006, menduduki SPM sebagai calon persendirian pada usia 21 tahun dengan hanya meminjam buku daripada rakan dan tahun berikutnya pula berjaya menduduki peperiksaan STPM.

Untuk peringkat tinggi, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Di Penjara Kajang, Malik berjaya menggenggam PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan. Kejayaan ini mencatatkan sejarah sebagai banduan (prospek) pertama di Malaysia yang berjaya memperoleh gelaran Dr. falsafah semasa masih menjalani hukuman.

Kini, pada usia 39 tahun, Malik memulakan hidup baharu sebagai seorang cendekiawan, membuktikan bahawa tembok penjara bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan jika disertai dengan keazaman yang tinggi.

Sumber