Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pad hari ini menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi itu bertajuk Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan pada 20 Februari lalu di portal berita pas.org.my.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
Tan Sri Abdul Hadi Awang. Sumber: Utusan

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani, baginda menzahirkan dukacita itu menerusi satu surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri bertarikh 27 Februari.

“Antara intipati surat berkenaan, baginda menyifatkan Abdul Hadi yang membuat kenyataan terbuka di media sosial itu tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari.

“Khususnya berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin yang mencabar keabsahan 16 peruntukan kesalahan jenayah dalam Enakmen Alamin Jenayah Syariah Kelantan 2019.

“Kenyataan sinis Abdul Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-Raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

“Kenyataan Abdul Hadi mengkritik hakim yang dikatakan gagal mentakrifkan Perlembagaan Persekutuan mengikut prinsip Islam sebenar dan kononnya dicipta dan digubal oleh penjajah mengikut acuan mereka dengan tujuan menghancurkan agama, bangsa, bahasa dan tanah air,” menurut surat berkenaan.

Surat lima halaman itu juga menyebut, kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

‘Sekiranya Abdul Hadi lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan baginda, Abdul Hadi akan dapat memahami maksud sebenar baginda.

“Abdul Hadi seorang Ahli Parlimen veteran yang beberapa kali mengangkat sumpah setia jawatan dengan penekanan kepada sumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi kenapa sekarang beliau mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam ditetapkan sebagai agama Persekutuan sejak Perlembagaan digubal pada tahun 1957 lagi.

“Adakah Abdul Hadi tidak lagi menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara? Tidakkah ini juga menggambarkan Abdul Hadi sengaja mencetuskan polemik politik demi meraih sokongan rakyat khususnya umat Islam yang berbangsa Melayu,” demikian surat berkenaan.

Justeru, baginda menasihatkan agar Abdul Hadi lebih berhati-hati di masa hadapan agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataan-kenyataan beliau yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

Sumber