Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mencetuskan kontroversi baharu apabila menyatakan bahawa penggantungan ke atas Rusia daripada bola sepak antarabangsa sepatutnya ditarik balik.
Menurut sumber laporan Goal, Infantino mendedahkan bahawa hukuman tersebut gagal mencapai matlamatnya dan hanya menimbulkan kekecewaan.
Beliau dengan tegas menyatakan hasratnya untuk melihat negara tersebut diterima semula dalam komuniti bola sepak global walaupun pencerobohan berterusan ke atas Ukraine yang menyebabkan mereka digantung pada Februari 2022.
Sejak itu, mereka langsung tidak dibenarkan untuk menyertai sebarang pertandingan di peringkat antarabangsa termasuklah pasukan futsal.
Keadaan itu hingga menyebabkan Rusia dilaporkan sedang mempertimbangkan pilihan untuk menganjurkan Piala Dunia mereka sendiri. Ianya akan disertai oleh negara negara yang gagal layak ke Piala Dunia.
Infantino Mahu Rusia Kembali
Apabila ditanya secara langsung sama ada beliau akan menarik balik larangan tersebut, Infantino memberikan jawapan yang tegas: “Kita perlu melakukannya. Sudah tentu.”
“Kerana larangan ini tidak mencapai apa-apa, ia hanya mewujudkan lebih banyak kekecewaan dan kebencian,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut berhujah bahawa mengekalkan hubungan sukan adalah penting, dengan menyatakan bahawa “membolehkan kanak-kanak lelaki dan perempuan dari Rusia bermain perlawanan bola sepak di bahagian lain Eropah akan membantu,” dan bahawa “seseorang perlu memastikan hubungan itu terus terbuka.”