Iran menyerap tekanan hebat dengan cukup baik untuk muncul juara Piala Asia Futsal 2026 selepas menundukkan Indonesia 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti (masa sebenar terikat 5-5), sebentar tadi.

Aksi yang berlangsung di Indonesia Arena itu bagaimanapun jelas detik yang cukup sukar terpaksa dilalui oleh skuad kendalian Vahid Shamsaei.

Hal ini kerana Indonesia yang mendapat sorakan padu lebih 10,000 penyokong beraksi dengan cukup baik dan tiga kali berjaya mendahului pasukan ranking kelima dunia tersebut.

Iran yang turun dengan memburu kejuaraan ke-14 membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi ketua pasukan, Hossein Tayebi.

Kelebihan itu hanya mampu bertahan empat minit selepas Reza Gunawan menggamatkan stadium untuk kembali menyamakan kedudukan.

Hanya seminit berselang, Indonesia menambah gol kedua selepas Israr Megantara melepasi kawalan pemain lawan dan kemudiannya meledakkan rembatan yang menewaskan penjaga gol, Bagher Mohammadi.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Israr sekali lagi membuatkan Bagher Mohammadi terpaku selepas percubaan tonjolnya menjadikan kedudukan 3-1 pada minit kesembilan.

Memasuki minit ke-16, Ahmad Habiebie cemerlang menafikan sepakan penalti kedua (Second Spot) oleh Salar Aghapour.

Kekecewaan Iran itu ditebus Mahdi Karimi yang mudah menyudahkan sepakan percuma pada minit ke-18 untuk mengurangkan defisit jaringan.

Rezeki Memihak Iran

Kedudukan kembali terikat selepas sepakan ke dalam Iran ke dalam kawasan D terkena kaki Samuel Eko yang tertampan bola ke gawangnya sendiri untuk kedudukan 3-3.

Hanya beberapa saat, Samuel Eko menceriakan kembali kem Indonesia selepas rembatan padunya berikutan kesilapan Karimi membolehkannya menjaringkan gol keempat.

Berbaki tiga minit aksi untuk ditamatkan, taktikal ‘Power Play’ yang digunakan Iran membuahkan hasil selepas Karimi merembat masuk bola untuk sekali lagi kedudukan terikat bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Drama di masa tambahan juga tidak kurang hebatnya dengan Israr melengkapkan hatrik pada minit ke-49 dan Indonesia kelihatan semakin hampir untuk terus melakar sejarah baharu.

Namun, Saeid Ahmad Abbasi tidak menunggu lama untuk menguis masuk bola hasil hantaran Salar Aghapour ketika taktikal Power Play sekali gus pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Segalanya tampak cukup baik buat Indonesia selepas Firman Ardiansyah menyempurnakan sepakan dan kemudiannya Muhammad Nizar Nayaruddin menyelamatkan sepakan Masoud Yousef.

Namun kegagalan Dewa Rizki Amanda dan Israr Magentara menyempurnakan sepakan memberikan ruang seluas-luasnya buat Hossein Sabzi untuk menghadiahkan kejuaraan ke-14 buat Iran.

Ringkasan Sepakan Penalti

Indonesia

1) Firman Adriansyah – Gol

2) Reza Gunawan – Gol

3) Rizki Xavier – Gol

4) Dewa Rizki Amanda – Diselamatkan Mahdi Rostami

5) Ardiansyah Nur – Gol

6) Israr Magentara – Tersasar sebelah kiri

Iran

1) Masoud Yousef – Diselamatkan Nizar

2) Hossein Derakhshani – Gol

3) Saeid Ahmad Abbasi – Gol

4) Salar Aghapour – Gol

5) Hossein Tayebi – Gol

6) Hossein Sabzi – Gol