Kalau sebelum ini bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) hanya terhad kepada barang dapur kering seperti beras, minyak, dan tepung, kali ini ada berita yang lebih ‘sejuk’ dan menyegarkan untuk poket anda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru sahaja mengumumkan bahawa kategori barangan SARA kini diperluas merangkumi makanan sejuk beku (frozen food) lapor Berita Harian.

Jadi, selepas ini kalau nak beli nugget untuk anak-anak atau lauk pauk sejuk beku untuk mudahkan urusan memasak, anda boleh gunakan bantuan yang dikreditkan terus ke dalam MyKad.

Pengumuman yang dibuat dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara hari ini membawa berita yang cukup inklusif, di mana seramai 22 juta warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas layak menerima manfaat ini.

Setiap individu akan menerima bantuan berjumlah RM100 yang dikreditkan terus ke dalam MyKad masing-masing untuk digunakan dalam tempoh setahun, bermula dari 9 Februari 2026 sehingga 31 Disember 2026.

Menariknya, fungsi bantuan ini tidak lagi terhad kepada barangan asas kering semata-mata, malah kini telah diperluas untuk pembelian makanan sejuk beku, sekaligus memberi lebih fleksibiliti kepada rakyat untuk mempelbagaikan stok hidangan di rumah.

Tak Perlu Susah Cari Kedai

Bukan itu sahaja, PM turut menjelaskan bahawa kerajaan akan meningkatkan penyertaan kedai runcit kecil untuk pelaksanaan program SARA ini. Menjelang hujung tahun, sasaran sebanyak 10,000 kedai runcit akan terlibat di seluruh negara.

Ini bermakna, anda tidak semestinya perlu ke pasar raya besar di bandar. Kedai runcit di kawasan perumahan atau kampung anda pun mungkin sudah boleh menerima pembayaran melalui MyKad ini nanti.

Sumber