Sir Jim Ratcliffe, salah seorang lelaki terkaya di Britain dan pengasas syarikat kimia gergasi INEOS, mencetuskan kontroversi selepas menyatakan dalam satu temu bual dengan Sky News bahawa United Kingdom telah “dijajah oleh kaum pendatang asing”.

Dalam kenyataannya, Ratcliffe mendakwa bahawa kadar imigrasi yang tinggi bersama jumlah besar penerima faedah sosial memberi tekanan kepada ekonomi negara.

Ratcliffe menganggap pendatang asing menjadi beban kepada UK dan merampas hak rakyat di negara tersebut.

Ratcliffe berkata: “Anda tak boleh ada ekonomi yang ada sembilan juta orang menerima faedah dan pada masa yang sama sejumlah besar pendatang datang.

“UK telah dijajah pendatang asing, dan negara membelanjakan terlalu banyak wang untuk mereka.”

Ratcliffe merujuk kepada pertumbuhan populasi Britain daripada sekitar 58 juta pada 2020 kepada 70 juta pada 2024, dengan menyifatkan ini sebagai bukti kepada “penjajahan” berkenaan.

Namun, data rasmi dari Office for National Statistics (ONS) memperbetulkan angka tersebut.

Menurut statistik dikeluarkan ONS, populasi UK dianggarkan 67 juta pada pertengahan 2020 dan sekitar 70 juta pada pertengahan 2024, menunjukkan ulasan Ratcliffe agak tidak tepat.

Selain itu, beliau mengaitkan isu imigran dengan “kesukaran ekonomi yang serius” dan menyatakan bahawa pemimpin negara memerlukan keberanian untuk melakukan tindakan tidak popular bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Kenyataan Ratcliffe mendapat reaksi keras daripada pelbagai pihak.

Komen SJR tentang pendatang asing di UK dianggap biadap

Beberapa ahli Parlimen UK menggambarkan komen itu sebagai “menghina dan provokatif,” menegaskan bahawa pendatang asing telah memberi sumbangan besar kepada ekonomi dan masyarakat Britain.

Penyokong Manchester United turut melahirkan rasa tidak puas hati, terutamanya kerana pasukan itu sendiri mempunyai ramai pemain antarabangsa berasal dari negara asing.

Ada peminat Man United yang membidas Ratcliffe kerana menetap di Monaco dan tidak membayar cukai di UK, satu hal yang dianggap hipokrit.

Sedangkan pendatang asing yang bekerja di negara mereka telah membayar cukai pendapatan di UK berbanding Sir Jim Ratcliffe.

Kenyataan Sir Jim Ratcliffe membuka semula perdebatan hangat tentang dasar imigresen, identiti nasional, serta cabaran ekonomi Britain pasca-Brexit.

Namun, banyak pihak menekankan bahawa perbincangan ini harus dilakukan dengan fakta dan sensitiviti terhadap sumbangan pelbagai komuniti yang membentuk Britain hari ini.