Bekas CEO MFL, Kevin Ramalingam melabel Dr. Johan Kamal sebagai hipokrit.

Isu kewangan Liga Malaysia kembali mencuri perhatian, namun kali ini ia hadir dengan ‘pertembungan’ pandangan antara dua tokoh terkenal dalam industri bola sepak tempatan.

Bekas CEO Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam tampil memberikan respon tegas terhadap cadangan CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal yang mencadangkan satu sidang meja bulat bagi membincangkan isu kewangan liga.

Menurut Kevin, cadangan tersebut sebenarnya tidak perlu kerana platform untuk perbincangan sudah lama wujud dalam struktur MFL itu sendiri.

Beliau menegaskan bahawa badan liga tersebut sememangnya menyediakan ruang rasmi seperti mesyuarat lembaga dan kongres untuk semua kelab menyuarakan pandangan serta menyelesaikan isu yang timbul.

Kenyataan itu secara tidak langsung memberi mesej jelas bahawa masalah bukan terletak pada kekurangan platform, sebaliknya pada cara platform tersebut dimanfaatkan.

Dalam nada yang lebih tajam, Kevin turut menyindir sikap segelintir pihak dalam bola sepak tempatan yang dilihat lebih lantang bersuara di luar berbanding ketika berada dalam saluran rasmi.

Kevin menerusi X berkata: “Saya tak faham apa yang mengelirukan. Platform itu ADALAH MFL. Pasukan-pasukan memiliki badan itu dan perlembagaannya membenarkan pasukan untuk membangkitkan perkara bagi perbincangan.

“Mesyuarat tidak formal memang semua orang ada. Itu dipanggil sembang kedai kopi. Tapi bila kononnya ada perkara serius untuk dibincangkan, gunakan perlembagaan. Ia memang wujud untuk membantu anda.

“MFL ADALAH platform pasukan. Gunakan mesyuarat lembaga dan mesyuarat rakan kongsi (kongres), tolonglah.

“Apa gunanya bercakap di khalayak ramai tetapi apabila hadir ke platform sebenar, anda hanya senyum, minum kopi, makan karipap dan pulang ke rumah. Tiada sumbangan. Hipokrit!”

Sebelum ini, cadangan yang dikemukakan oleh Dr. Johan Kamal mendapat perhatian ramai, malah ada pihak yang melihatnya sebagai usaha positif untuk mencari jalan penyelesaian secara terbuka.

Kevin Ramalingam turut merasakan ada pihak cuba mensensasikan isu demi kepentingan cita cita politik.

Beliau menambah: “Mungkin agendanya bukan betul-betul untuk memperbaiki keadaan. Sebab kalau ya, anda sudah tahu di mana tempat yang betul untuk melakukannya. Mungkin nak jadi ADUN pilihan raya akan datang kot — saja nak popularkan diri.

Malah liga-liga terbaik pun ada konflik, tapi mereka tahu kenyataan terbuka bukan untuk kepentingan mereka. Gunakan platform yang betul! Tidak bertanggungjawab!”