Landskap bola sepak kelab Asia bakal menyaksikan perubahan besar selepas Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) baru-baru ini telah mencadangkan beberapa penambahbaikan strategik bagi saingan AFC Champions League Elite (ACL Elite).

Perubahan paling ketara apabila bilangan pasukan akan ditambah dalam kempen ACL Elite kepada 32 pasukan bermula musim 2026/27!

Berikut adalah ringkasan penting mengenai format baharu yang perlu anda tahu:

ACL Elite 2025/26
Kredit Foto: Takuya Yoshino / The Yomiuri Shimbun via AFP

Perubahan Format ACL Elite

1) Peluasan Kepada 32 Pasukan

Jika sebelum ini hanya 24 pasukan terbaik Asia bertarung di peringkat liga, bermula musim 2026/27, jumlah itu akan ditambah kepada 32 pasukan.

Pembahagian Wilayah adalah 16 pasukan dari Zon Timur dan 16 pasukan dari Zon Barat.

Ini bermakna bertambah empat lagi pasukan bagi setiap wilayah akan dapat disaksikan nanti.

Menurut AFC, tujuan langkah ini adalah dalam memberi peluang lebih luas kepada kelab-kelab elit Asia untuk bersaing secara kompetitif dan menaikkan nilai komersial kejohanan.

2) Laluan Ke Pusingan 16 Lebih ‘Tricky’

AFC juga mahu memastikan setiap perlawanan dalam peringkat liga mempunyai nilai “hidup mati”. Selepas musim 2026/27, sistem kelayakan ke pusingan kalah mati akan dirombak:

Ranking 1-6: Layak secara automatik ke Pusingan 16.

Ranking 7-10: Tidak tersingkir terus! Mereka akan berentap dalam perlawanan Playoff Peringkat Kalah Mati.

Ranking 11-16: Tersingkir sepenuhnya.

3) Kelebihan Laman Sendiri Untuk Pasukan Atas

Untuk memberi ganjaran kepada pasukan yang konsisten, pasukan yang menduduki tangga ke-7 dan ke-8 dalam liga akan diberikan kelebihan beraksi di laman sendiri dalam pusingan Playoff tersebut.
Ini bermakna, setiap pasukan akan bermati-matian untuk tidak jatuh ke tangga bawah bagi mengelakkan penyingkiran awal.

4) Kenapa Tidak Mula 2026/27?

Walaupun penambahan 32 pasukan bermula pada 2026/27, sistem Playoff Peringkat Kalah Mati hanya akan diperkenalkan pada musim seterusnya. Ini kerana AFC mengambil kira kepadatan kalendar bola sepak global (termasuk kejohanan FIFA) bagi mengelakkan pemain mengalami keletihan melampau.

Kesimpulan

Langkah ini dilihat sebagai usaha AFC untuk menjadikan ACL Elite setanding dengan kualiti UEFA Champions League di Eropah. Dengan lebih banyak pasukan, lebih banyak drama, dan sudah tentu lebih banyak perlawanan berkualiti tinggi untuk peminat bola sepak Asia.

Walau bagaimanapun, segala cadangan melibatkan ACL ELite ini masih perlu menunggu lampu hijau (pengesahan rasmi) daripada Jawatankuasa Eksekutif AFC sebelum ia dilaksanakan secara rasmi.

Sumber