Pemain pinjaman Manchester United, Marcus Rashford kini berdepan perubahan tidak dijangka apabila peluangnya untuk perpindahan secara tetap ke Barcelona dilihat semakin tipis.
Melihatkan kepada keadaan tersebut, pemain skuad kebangsaan England itu kini dilaporkan bersetuju untuk kembali ke Old Trafford pada musim panas nanti bagi menjadi sebahagian daripada ‘projek baharu’ The Red Devils.
Menurut sumber laporan Goal, Rashford terbuka untuk kemungkinan kembali ke Manchester United sekiranya Barcelona menutup peluang untuknya kekal.
Perubahan jurulatih dan hala tuju di Old Trafford juga dilaporkan sesuatu yang dia sedia pertimbangkan untuk terlibat, lebih-lebih lagi kerana beliau masih terikat kontrak dengan kelab itu sehingga 2028.
Keutamaan Rashford sebelum ini adalah untuk terus kekal di Barcelona, dan ejennya dilaporkan telah beberapa kali bertemu dengan pihak Blaugrana untuk membincangkan syarat-syarat perjanjian.
Namun, perkembangan terbaharu menunjukkan rundingan itu semakin sulit, sehingga peluangnya untuk kekal di Camp Nou kini dilihat lebih cenderung untuk tidak menjadi kenyataan berbanding sebaliknya.
Barcelona kini perlu membuat keputusan muktamad, namun difahamkan kelab itu tidak bersedia untuk meluluskan kesinambungan kontrak pada angka yang sedang dibincangkan.
Kekangan Dihadapi Rashford Di Barcelona
Masalah utama ialah Rashford masih belum berjaya mengukuhkan tempat sebagai pemain kesebelasan utama di Barcelona, manakala kos untuk mengekalkannya dianggap terlalu tinggi.
Pilihan pembelian perpindahan tetapnya dilaporkan bernilai €30 juta, dan gajinya pula akan menjadi antara yang tertinggi dalam skuad, meskipun pemain England itu sedia membuat pengorbanan yang besar untuk terus kekal.
Barcelona kini sedang giat mencari pemain sayap di pasaran, dengan keutamaan untuk melabur pada pemain yang lebih murah tetapi mempunyai potensi jangka panjang.
Walaupun Rashford menunjukkan prestasi yang baik, faktor kos tinggi serta statusnya yang lebih kepada pemain skuad membuatkan peluangnya untuk kembali ke Manchester United semakin terbuka.