Marcus Rashford memberi bayangan jelas bahawa beliau mahu melanjutkan tempoh kejayaannya di Barcelona dan turut mendedahkan tiga rakan sepasukan yang membuatkan kehidupannya begitu menyeronokkan sejak menyertai gergasi Catalan itu.

Rashford membuat keputusan sukar untuk meneruskan kerjaya jauh daripada kelab zaman kanak-kanaknya, Manchester United pada musim panas tempoh hari.

Baca Juga:

Namun, langkah diambil itu ternyata satu keputusan yang langsung tidak beliau sesali dalam kariernya.

Setelah pelbagai cerita menimpa kariernya di Manchester United, Rashford akhirnya dipinjamkan ke Barcelona pada perpindahan musim panas lalu.

Rashford memulakan tempoh pinjamannya di Barcelona dengan cemerlang sekali gus menghidupkan semula kariernya yang sebelum ini cukup malap.

Pemain antarabangsa England itu telah menjaringkan lima gol dan enam bantuan gol dalam 12 penampilan dalam semua pertandingan dan beraksi cemerlang di bawah kendalian Hansi Flick.

Prestasinya menjadi faktor utama kepada permulaan positif Barcelona musim ini dan beliau turut menyuarakan hasrat kuat untuk menjadikan perpindahan pinjamannya sebagai kekal.

Rashford Semakin Sayangkan Barcelona

“Saya benar-benar menikmati masa saya di Sepanyol. Cuacanya memang yang terbaik.Iitu bahagian paling saya suka.”

“Ia satu perubahan besar. Setiap hari saya belajar sesuatu yang baru dan saya sangat menikmatinya. Saya harap dapat berada di sini untuk tempoh yang lama.”

“Saya sangat serasi dengan Roony (Bardghji), begitu juga dengan Jules (Kounde) dan Frenkie (De Jong),” ujar Rashford menurut sumber laporan Goal.

“Ini pasukan yang semua pemainnya saling melengkapi. Kami bersatu. Pasukan ini luar biasa. Saya hanya perlu berada di posisi yang betul dan saya akan terus cuba melakukannya.”

“Kami perlu teruskan rentak ini untuk jadi yang terbaik. Masih banyak lagi yang perlu kami lakukan musim ini.”

“Saya sangat menikmati saat berada di kelab bola sepak ini dan saya rasa bagi sesiapa yang mencintai bola sepak, Barcelona adalah antara kelab paling berpengaruh dalam sejarah sukan ini, jadi dapat bermain di sini adalah satu penghormatan.”

“Saya percaya bahawa segala sesuatu berlaku pada waktunya. Ini bukan kali pertama saya berbincang dengan Barcelona mengenai kemungkinan untuk datang ke sini tetapi atas beberapa sebab ia tidak menjadi sebelum ini.”

“Dan kini inilah peluang saya untuk menjadikannya kenyataan. Saya rasa tiada masa yang lebih sesuai selain sekarang.”

“Orang ramai mungkin terlupa tetapi 23 tahun hidup saya dihabiskan bersama Manchester United. Jadi kadang-kadang, seseorang memang perlukan perubahan.”

“Mungkin itulah yang berlaku kepada saya  dan ya, saya menikmati semuanya.”

“Saya tak rasa saya banyak berubah, cuma ini adalah persekitaran dan budaya baru yang saya nantikan sejak lama.”

“Sekarang ia tentang bagaimana saya menyesuaikan diri dan memberi yang terbaik. Saya sangat lapar untuk terus memperbaiki diri,” tambah beliau lagi.

Sumber