Roberto De Zerbi telah menawarkan insentif unik kepada pemain Tottenham Hotspur dalam usaha untuk menaikkan moral pasukan untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Pengendali dari Itali itu berjanji akan membayar makan malam mingguan pasukan sekiranya mereka mula meraih kemenangan ketika bertemu Brighton dalam saingan English Premier League (EPL) 2025/26.

Pengurus dari Itali itu mendedahkan bahawa beliau sanggup membayar makan malam mingguan pasukan sekiranya Tottenham Hotspur kembali meraih kemenangan, ketika beliau mencari cara untuk meningkatkan moral pasukan dalam perjuangan mengelak penyingkiran.

Tottenham melayani Brighton & Hove Albion pada aksi yang berlangsung malam tadi dengan kesedaran bahawa kemenangan mampu memberi lonjakan penting dalam usaha mereka untuk kekal dalam liga.

“Ya, saya tak pasti sama ada kami akan menang perlawanan itu untuk makan malam,” ujar De Zerbi menurut sumber laporan Goal.

“Apa yang saya tahu, kami makan dengan sangat baik. Makanannya memang hebat dan jika kami menang, saya sedia untuk bayar makan malam setiap minggu.”

“Saya kekal positif, saya bersedia untuk berjuang dan saya percaya kami mampu kekal dalam Premier League. Saya percaya dengan apa yang saya katakan minggu lalu. Fokus utama sekarang adalah untuk menang satu perlawanan.”

“Ya, saya rasa sangat penting untuk menang satu perlawanan, bukan sekadar untuk kedudukan liga. Sudah tentu ia penting untuk carta liga, tetapi kami juga perlu merasai semula betapa seronoknya menang dan apa impaknya kepada pasukan.”

“Saya langsung tidak ragu dengan kualiti pemain-pemain saya,” tambah beliau lagi.

De Zerbi sebelum ini turut menganjurkan makan malam mewah pasukan di Bacchanalia sebagai usaha mengukuhkan perpaduan skuad.

Usaha De Zerbi Masih Tak Berhasil

Makan malam tersebut diadakan selepas kekalahan mengecewakan 1-0 kepada Sunderland dalam perlawanan pertamanya sebagai jurulatih, keputusan yang menyaksikan Spurs jatuh ke kelompok tiga terbawah buat kali pertama dalam tempoh 17 tahun.

Namun, janji tersebut masih belum mampu untuk menghadirkan kemenangan buat pasukannya selepas Tottenham sekadar seri bertemu Brighton.

Membuka tirai jaringan menerusi Pedro Porro pada minit ke-39, Kaoru Mitoma menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama.

Xavi Simons menceriakan kembali kem tuan rumah hasil jaringan pada minit ke-77 namun Georginio Rutter meleburkan harapan Tottenham menerusi satu lagi gol di masa kecederaan untuk sekadar meraih keputusan seri.

 

Sumber