Pengurus Tottenham Hotspur, Roberto De Zerbi mengesahkan satu tamparan hebat terhadap perancangan skuadnya apabila mendedahkan bahawa tiga pemain utama pasukan itu secara rasmi telah meminta untuk meninggalkan kelab.

Perkembangan terkini itu nyata membuatkan De Zerbi bertambah pening kepala susulan dua kekalahan dialami dalam kempen English Premier League (EPL) 2026/27.

Tottenham tewas 0-3 kepada Brentford pada aksi minggu lalu dan kemudiannya awal pagi tadi dikecewakan pula oleh Newcastle United 0-2 di laman sendiri.

Pengendali kelahiran Itali mendedahkan bahawa Richarlison, Pape Matar Sarr dan Kevin Danso menyuarakan hasrat untuk keluar daripada kelab tersebut.

Ketiga-tiga pemain tersebut tidak disenaraikan dalam skuad pada hari perlawanan bertemu Newcastle.

De Zerbi Sedia Lepaskan Trio Tersebut

“Richarlison, saya tidak tahu. Dia sudah terlalu banyak kali menyatakan bahawa dia mahu pergi,” jelas De Zerbi menurut sumber laporan Goal.

“Danso datang berjumpa saya dua hari lalu dan memberitahu bahawa dia mahu pergi. Pape Sarr juga begitu, tetapi dia mengalami kecederaan ringan dan hampir bersedia untuk kembali menjalani latihan.”

Walaupun situasi itu menimbulkan gangguan, De Zerbi menegaskan bahawa tiada perselisihan antara dirinya dengan ketiga-tiga pemain yang mahu meninggalkan kelab tersebut.

“Saya sayangkan pemain-pemain ini dan mereka juga merupakan individu yang baik. Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan mereka,” tambahnya.

“Tetapi jika mereka mahu pergi, mereka perlu membawa penyelesaian dari segi kewangan kepada kelab dan mereka boleh pergi sementara kami mencari pemain lain.”

Sumber