Kejutan dapat disaksikan dalam kempen Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 selepas dua bekas juara iaitu Thailand dan Indonesia gagal ke separuh akhir.

Thailand sekadar menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga selepas tewas kepada Laos dan Myanmar manakala nasib sama dialami Indonesia.

Indonesia yang bermula baik menundukkan Timor-Leste 4-0 terpaksa akur tewas 0-1 bertemu Malaysia dan kemudiannya terikat tanpa jaringan ketika berhadapan Vietnam.

Kejuaraan B-17 ASEAN 2026: Senarai Pasukan Layak Ke Separuh Akhir
Kredit Foto: FAM

Sehubungan dengan itu, Vietnam bersama Laos dan Australia melangkah ke separuh akhir selaku juara kumpulan manakala Malaysia pula layak sebagai pasukan tangga kedua terbaik dengan enam mata diraih.

Malaysia yang dibimbing Shukor Adan memulakan kempen dengan sumbang selepas tewas 0-4 kepada Vietnam, namun kemudiannya bangkit menewaskan Indonesia 1-0 dan Timor-Leste 2-0.

Di separuh akhir, Malaysia akan berhadapan dengan Laos manakala juara tiga kali, Vietnam pula menanti cabaran Australia yang turut pernah memenangi kejuaraan ini dengan jumlah yang sama.

Sebagai rekod, skuad remaja Malaysia pernah menjuarai saingan ini pada edisi 2013 dan 2019.

Kejuaraan B-17 ASEAN 2026: Senarai Pasukan Layak Ke Separuh Akhir
Kredit Foto: FAM

Separuh Akhir Kejuaraan B-17 ASEAN 2026

1) Laos lawan Malaysia – 22 April – 4.30 Petang

2) Vietnam lawan Australia – 22 April – 8.30 Malam

Kedua-dua perlawanan bakal berlangsung di Gelora Delta Sidoarjo, Jawa Timur Indonesia.