Malaysia melangkah ke pentas final Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 selepas menewaskan Laos 3-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Jawa Timur Indonesia sebentar tadi.

Kemaraan tersebut mengulangi pencapaian edisi 2019 Malaysia yang menyaksikan skuad muda negara negara berjaya meraih kejuaraan di Chonburi selepas menewaskan Thailand 2-1.

Malang menimpa Laos seawal minit kelima permainan selepas Bounthasak Chandala diperintahkan keluar padang selepas menyiku Ahmad Yusuf Nasrullah Ahmad Ramli.

Rujukan Video Assistant Referee (VAR) itu membolehkan skuad negara mendapatkan sepakan penalti dan Ahmad Yusuf sendiri menyempurnakan sepakan tersebut pada minit ketujuh untuk meletakkan Malaysia dihadapan.

Kekurangan seorang pemain nyata menjadi masalah buat Laos dan kesempatan itu diambil barisan anak buah Shukor Adan untuk menambah jaringan kedua.

Gol tersebut berpunca daripada rembatan voli Muhammad Aniq Thaqif Hairulnizam dalam kawasan penalti yang tidak mampu diselamatkan penjaga gol Laos, Sankham Thavithong pada minit ke-11.

Ahmad Yusuf berpeluang untuk menambah jaringan pada masa kecederaan, namun sepakan penaltinya kali ini dibaca dengan baik Sankham untuk menyelamatkan gawangnya.

Memasuki minit ke-53, Ahmad Muzakif Fitri Muhamad mendapat peluang terbaik ketika hanya berhadapan dengan Sankham, namun rembatannya digagalkan penjaga gol berusia 16 tahun itu.

Muzakif bagaimanapun menebuskan kehampaannya berselang lima minit kemudian selepas percubaan kaki kirinya dalam kawasan penalti terkena kaki pertahanan lalu menerjah masuk ke gawang Laos untuk melebarkan kedudukan.

Jaringan pemain gantian, Mohd Aiman Haqimi Mohd Sanusi pada minit ke-81 dibatalkan pengadil berikutan kekasaran dilakukan Nur Azam Muslim Nor Hisham ketika perebutan bola udara bersama Sankham.

Penjaga gol negara, Adam Nurfakhrullah Mohd Fadli yang sesekali duji turut cemerlang terutamanya dalam menafikan percubaan Laos pada lewat permainan.

Keputusan 3-0 itu kekal hingga tamat permainan dan skuad negara akan menanti pemenang antara Vietnam dan Australia yang akan beraksi pada 8.30 malam nanti. Final akan berlangsung pada hari Jumaat jam 8.30 malam.