Ketua jurulatih skuad B-16 tahun kebangsaan, Javier Jorda Ribera mahu menggunakan kejohanan Piala AFF B-16 2024 di Surakarta, Indonesia sebagai persiapan untuk skuadnya menghadapi kempen kelayakan Piala Asia B-17 2025 di Laos pada Oktober.

Skuad B-16 ini dibentuk hasil gabungan majoriti pemain-pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) III selepas penilaian dilakukan terhadap 160 pemain dari pelbagai akademi seluruh negara.

Baca Juga:

Javier yang sebelum ini memegang jawatan jurulatih JDT III mahu bersikap realistik dan hanya mahu melihat pemainnya dapat bersaing di peringkat antarabangsa kerana ini adalah kali pertama mereka mewakili negara.

Javier Jorda
Malaysia B-16 Tahun. Sumber Gambar: FAM

“Kami menetapkan sasaran yang realistik untuk kejuaraan ini dan saya mahu melihat para pemain dapat bersaing di peringkat antarabangsa serta dapat memberikan cabaran dengan pasukan dalam peringkat kumpulan dan Australia dilihat sebagai cabaran terbesar.

“160 pemain telah dinilai dan pemain yang terpilih telah lama beraksi dalam pelbagai liga peringkat umur. Pasukan AMD telah beraksi di Thailand manakala JDT beraksi di Singapura dan ini akan menjadi generasi baharu skuad negara.

“Kami juga mahu gunakan kejohanan ini sebagai persiapan menghadapi kelayakan Piala Asia B-17 Tahun pada Oktober di Laos dan saya mempunyai keyakinan penuh terhadap para pemain ini,” kata Javier Jorda dalam sidang media yang diadakan di Petaling Jaya hari ini.

Sebanyak 23 pemain telah dipilih dari senarai 40 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat dan kesemua pemain sudah bersedia untuk membawa cabaran Malaysia di kejohanan Asean ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C dalam kejohanan yang disertai sebanyak 12 pasukan itu dan akan berhadapan Timor Leste, Thailand serta Australia dengan tiga juara kumpulan serta satu pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke peringkat separuh akhir.