Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu sekadar memberikan alasan atas kegagalan skuad B-16 kebangsaan layak ke Piala Asia B-17 2025, sebaliknya akur bahawa skuad kendalian Javier Jorda Ribera itu tidak cukup baik ketika tewas 2-0 kepada UAE dan seri 2-2 dengan Laos.
Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell berkata, antara yang dikenal pasti sebagai punca utama kegagalan tersebut ialah tiadanya liga kebangsaan B-15 dan B-16 yang sepatutnya menjadi platform terbaik buat pemain-pemain berusia 15 dan 16 tahun ini mendapatkan minit permainan kompetitif secara tetap.
Baca Juga:
- Belanjawan 2025: FAM Dapat RM15 Juta Perkasa Harimau Malaya
- Sanggup Bayar Mahal Untuk Jurulatih, Peminat Anggap Idea FAM Tak Masuk Akal
- FAM Sedia Bayar Gaji RM200,000 Sebulan Untuk Jurulatih Terbaik
“Tiada alasan. Kami menjalani kem latihan pusat yang baik di Johor yang mana kami bermain tiga perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Singapura (menang 4-0) dan Tajikistan ( kalah 2-1 & seri 1-1).
“Tapi kami tidak cukup bagus pada aksi sebenar iaitu saingan kelayakan di Vientiane apabila tewas 2-0 kepada UAE dan seri 2-2 dengan tuan rumah, Laos.
“Jujur saya katakan, kita akan terus bergelut untuk layak ke Piala Asia B-17 pada masa akan datang jika kita tidak mempunyai platform untuk pemain-pemain terbaik B-15 dan B-16 kita ini bermain perlawanan kompetitif secara tetap,” katanya.
O’Donell turut menambah bahawa kita perlu mempunyai pangkalan pemain yang lebih besar untuk dipilih dan bukan hanya bergantung pada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Dengan adanya liga kebangsaan B-15 dan B-16, ia akan dapat memberi peluang kepada pemain untuk menunjukkan kebolehan mereka di sepanjang musim.
“Ia membolehkan jurulatih dan pencari bakat kami memerhati dan mengenal pasti pemain berbakat yang berpotensi di seluruh negara di sepanjang musim dan bukan hanya melihat mereka secara ‘one-off’ dalam satu perlawanan persahabatan.
“Sama juga dengan cadangan saya untuk menambahkan lagi bilangan perlawanan dalam pertandingan Piala Belia dan Piala Presiden,” ujar O’Donell.
Mengikut struktur liga peringkat bawah umur kebangsaan ketika ini, terdapat Liga Piala Menteri Pendidikan B-14, Liga Piala Remaja KPM-FAM B-17, Piala Belia B-18 dan Piala Presiden B-20.
Bagaimanapun tiada liga kebangsaan bagi B-15 dan B-16, sekali gus tiada platform terbaik untuk penilaian dalam mendapatkan pemain terbaik bagi mewakili skuad B-16 kebangsaan ke Kelayakan Piala Asia B-17.
“Pemain muda kita perlu bermain lebih perlawanan kompetitif di mana mereka akan dapat merasai kesan atau akibat jika melakukan kesilapan seperti mendapat kad kuning, memberikan sepakan penalti, foul yang tidak sepatutnya, mempersiakan peluang gol dan sebagainya.
“Sebagai contoh, kita memberikan empat sepakan penalti dalam empat perlawanan. Pemain tidak akan merasai sangat kesan atau akibat melakukan kesilapan-kesilapan tersebut jika dalam perlawanan persahabatan.
“Pemain muda kita perlu mendapatkan pengalaman bermain di bawah tekanan untuk membantu mereka membuat persediaan yang lebih baik bagi perlawanan bola sepak peringkat antarabangsa dan profesional,” jelas O’Donell.